Ahad, 23 Februari 2020 | 6:13pm
Gambar fail NSTP.
Gambar fail NSTP.

Pemimpin UMNO akan ke Istana Negara

KUALA LUMPUR: Pimpinan UMNO dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang enggan namanya didedahkan berkata tiada perkara besar atau maklumat penting akan dibuat di Menara Dato Onn.

Sebaliknya, beliau berkata, perkembangan paling penting dan bakal melakar peristiwa akan berlaku dalam tempoh beberapa jam, selepas mesyuarat khas MKT di ibu pejabat UMNO yang baru selesai.

“Anda semua akan ketahui dalam beberapa jam lagi.

“Kalau betul apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tadi, pemimpin UMNO akan ke Istana Negara,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, semua ahli MKT UMNO diberikan arahan untuk berkumpul di Menara Dato’ Onn, awal pagi tadi.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata perjumpaan khas, sejak jam 3 petang tadi adalah susulan arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Annuar berkata MKT tidak dimaklumkan mengenai sebarang agenda mesyuarat khas yang bakal dipengerusikan presiden.

Berita Harian X