Ahad, 23 Februari 2020 | 4:09pm
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meraikan ulang tahun kelahiran cucunya, tengah hari tadi. - Foto ihsan Twitter Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meraikan ulang tahun kelahiran cucunya, tengah hari tadi. - Foto ihsan Twitter Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Inilah kebahagiaan - Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meraikan ulang tahun kelahiran cucunya, tengah hari tadi, selepas dilaporkan menghadiri mesyuarat tertutup bersama tiga lagi pemimpin tertinggi parti itu pada sebelah pagi.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, memuat naik gambar bersama cucu perempuannya itu sambil memegang segugus belon, dalam laman sosial Twitter rasmi @AzminAli.

“Inilah kebahagiaan. Bermain belon dengan cucu.

“Luang masa untuk makan tengah hari bersama keluarga sempena meraikan ulang tahun kedua cucunda, Farah Inayah Rose.

“Semoga cucu Atok (datuk) terus membesar dengan sihat, ceria dan bahagia,” ciapnya melalui Twitter beliau.

Mohamed Azmin bersama tiga lagi pemimpin tertinggi PKR dilaporkan menghadiri mesyuarat tertutup di sebuah hotel, di sini, pagi tadi.

Tiga lagi pemimpin terbabit ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, serta dua Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Hamzah difahamkan mewakili BERSATU kerana beliau dilihat meninggalkan mesyuarat BERSATU di Petaling Jaya sebelum pertemuan itu tamat.

Mesyuarat tertutup bermula kira-kira jam 8 pagi itu dikatakan membincang isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita Harian X