Ahad, 23 Februari 2020 | 10:17am

Peguam kes Daesh sedia fail semakan kehakiman

KUALA LUMPUR: Peguam yang pernah mengendalikan beberapa kes membabitkan kumpulan militan Daesh bersedia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi sabitan ke atas anak guamnya, sebelum ini.

Tindakan itu susulan keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam Ahmad Kamal Abu Bakar, yang sebelum ini mewakili pesalah bagi sabitan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan Daesh, memaklumkan bersedia memfailkan permohonan itu jika anak guamnya mahu berbuat demikian.

"Kita pastinya sangat tertarik untuk memfailkannya (permohonan semakan kehakiman) bagi sabitan ke atas pesalah terbabit walaupun keputusan Peguam Negara (berhubung pertuduhan LTTE) tidak boleh dijadikan ‘contoh ikutan’.

"Bagaimanapun, secara analogi dan moralnya, ia keputusan Peguam Negara berhubung pertuduhan LTTE akan digunakan sebagai alasan dalam representasi permohonan berkenaan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Abu Bakar bersama peguam Arik Zakri Abdul Kadir sebelum ini, mewakili Rosmadi Che Daud, 48, yang dipenjarakan dua tahun selepas didapati bersalah kerana cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan Daesh, pada Mei 2015.

Peniaga kedai runcit terbabit didakwa melakukan kesalahan itu dan ditahan pada 25 September 2014 bersama beberapa orang lain di Balai Pelepasan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika hendak mendaftar masuk bagi penerbangan Qatar Airways ke Istanbul, Turki.

Kelmarin, Peguam Negara menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 tertuduh yang sedang berdepan pendakwaan menyokong LTTE selepas mendapati tiada prospek jelas untuk mensabitkan dengan mana-mana daripada 34 pertuduhan dihadapi mereka.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, seorang lagi peguam yang pernah mewakili dua pesalah disabitkan dengan kesalahan berkaitan kumpulan militan Daesh juga mengemukakan pandangan hampir sama, selain menegaskan perlu membuat kajian sebelum memfailkan permohonan itu.

Beliau yang enggan identitinya didedahkan itu mengakui kajian bagi permohonan semakan kehakiman terbabit perlu meneliti sama ada ia boleh memberi kejayaan bagi kes berkenaan atau tidak, jika difailkan.

"Ini kerana, keputusan Peguam Negara tidak mengikat beliau atau mahkamah. Justeru, penelitian menyeluruh perlu dibuat sebelum sebarang permohonan semakan kehakiman difailkan," katanya.

Berita Harian X