Ahad, 23 Februari 2020 | 12:09am
Pengerusi Biro Perundangan, Advokasi dan Hak Asasi pertubuhan itu, Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto Facebook
Pengerusi Biro Perundangan, Advokasi dan Hak Asasi pertubuhan itu, Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto Facebook

Kurangkan kuasa Peguam Negara - MBM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak kerajaan mengurangkan kuasa Peguam Negara selaras manifesto yang pernah dinyatakan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Biro Perundangan, Advokasi dan Hak Asasi pertubuhan itu, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia perlu dilaksanakan supaya doktrin pengasingan kuasa dapat dikembalikan.

Katanya, Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara perlu mengotakan janjinya untuk melakukan pengasingan antara peguam negara dengan pendakwa raya.

“Kuasa itu menjadikan Peguam Negara sebagai individu paling berkuasa di Malaysia. Ini jugalah tulisan Tommy Thomas sendiri dalam majalah INSAF keluaran Ogos 1983.

“Sudah sampai masanya beliau mengotakan apa yang pernah dihasratkan 37 tahun yang lalu iaitu mengasingkan kuasa antara peguam negara dengan pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penarikan balik prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hanya mewujudkan persepsi buruk kepada Peguam Negara.

Katanya, ia berikutan sebahagian yang dituduh adalah anggota atau penyokong DAP yang diketahui umum mempunyai hubungan politik dengan Tommy sebelum ini.

“Pertuduhan itu adalah berkaitan sebuah pertubuhan yang diwartakan sebagai pengganas oleh Malaysia.

“Tidakkah rakyat Malaysia ada hak untuk berasa lebih selamat daripada unsur yang meresahkan keselamatan mereka.

“Keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia mesti dilihat untuk dilaksanakan. Penarikan balik pertuduhan itu juga menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang difahamkan sudah melakukan siasatan lengkap tetapi nampaknya tidak menepati piawaian Peguam Negara,” katanya.

Berita Harian X