Sabtu, 22 Februari 2020 | 10:04pm
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin . - Foto Edmund Samunting
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin . - Foto Edmund Samunting

LTTE masih kumpulan pengganas - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengklasifikasikan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Katanya, ia juga berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan.

"Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai merujuk laporan yang dikeluarkan Peguam Negara (AG) berhubung keputusannya menghentikan prosiding jenayah di mahkamah terhadap individu-individu yang menyokong LTTE, semalam.

Laporan semalam menyatakan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri supaya mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Tommy dalam kenyataannya berkata, setiap kumpulan pengganas perlu dikaji semula setiap enam bulan oleh Menteri Dalam Negeri, mengikut suatu perintah di bawah Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihak berkuasa bertanggungjawab mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi berkaitan kumpulan ini.

Katanya, mengikut Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan.

"Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti PDRM dan agensi kawal selia atau pengawasan berkaitan,” katanya.

Berita Harian X