Sabtu, 22 Februari 2020 | 5:48pm
Gambar fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy. - Foto Hafiz Sohaimi
Gambar fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy. - Foto Hafiz Sohaimi

Kerajaan Selangor perlu rujuk JAKOA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor perlu berbincang secara menyeluruh dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkenaan cadangan pembangunan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi memastikan keputusan menang-menang dapat dipersetujui bersama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, berkata alam hal ini, pihak JAKOA sememangnya tidak menghalang sebarang bentuk pembangunan demi kemajuan negara, tetapi ia perlu mengambil kira hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli membabitkan cara hidup, tradisi, budaya dan hak mengekalkan tanah adat dan tanah rayau mereka.

Katanya, kawasan hutan simpan berkenaan masih lagi menjadi sebahagian penting empat perkampungan masyarakat Orang Asli iaitu di Bukit Kecil, Bukit Ceeding, Busut Baru dan Pulau Kempas, yang membabitkan sejumlah 1,049 penduduk.

“Sungguhpun kawasan pembangunan yang dirancangkan itu tidak membabitkan secara terus perkampungan masyarakat Orang Asli, namun ia adalah kawasan rayau tradisi mereka sejak tahun 1845 yang kemudiannya diiktiraf sebagai tanah adat Sakai seluas 17,900 ekar bagi mendapatkan hasil hutan serta mengusahakan tanaman kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini..

Bagaimanapun Waytha Moorthy berkata, kawasan itu semakin mengecil dari tahun ke tahun dan JAKOA sudah mengambil tindakan dengan menghantar permohonan pewartaan keempat-empat kampung berkenaan, tetapi ditolak oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pejabat Tanah Daerah.

Hal ini disebabkan pengukuran dikatakan tidak mengikut spesifikasi digariskan atas sebab pertindihan dengan Tanah Rizab Hutan dan Tanah Rizab Melayu.

Waytha Moorthy turut merujuk keputusan mahkamah dalam kes Mohamad Nohing di Bera yang memutuskan bahawa apa-apa tanah yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri adalah terbatal kerana hak masyarakat Orang Asli diutamakan dalam kawasan Tanah Adat Orang Asli.

Dalam kes itu, keputusan Kerajaan Negeri yang bercanggah dengan hak Orang Asli mesti dibatalkan dan digantikan dengan kawasan lain serta mengazetkan kawasan itu sebagai tanah Rizab Orang Asli.

Beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kawasan hutan simpan Kuala Langat yang dicadangkan untuk pembangunan semula tidak lagi sesuai untuk dikekalkan.

“Saya berharap perbincangan ini dapat disegerakan supaya satu penyelesaian menyeluruh untuk semua pihak dapat dicapai dan mengambil kira Manifesto Pakatan Harapan mempertahankan hak masyarakat Orang Asli,” katanya.

Berita Harian X