X
Sabtu, 22 Februari 2020 | 1:55pm
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (kiri) dan Tan Sri Tommy Thomas. - Foto NSTP
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (kiri) dan Tan Sri Tommy Thomas. - Foto NSTP

LTTE: Henti prosiding tanpa pertimbangan telus

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Muslim Malaysia mempertikai keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata tindakan itu menimbulkan beberapa persoalan kerana dibuat tanpa pertimbangan secara telus berdasarkan faktor di Malaysia.

Beliau berkata, keputusan Tan Sri Tommy Thomas itu juga melangkaui kuasa eksekutif kerana LTTE masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di negara ini oleh Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, langkah yang diambil oleh Tommy tidak mendapat sokongan polis.

“Persoalan sama ada berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam susulan keputusan itu juga timbul, selain kemampuan Tommy menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai pendakwa raya boleh dipersoal.

“Tommy tidak diketahui pernah memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengeluarkan LTTE daripada senarai ini (pertubuhan pengganas) sebelum daripada ini tetapi terus secara unilateral (sebelah pihak) membuat kesimpulan LTTE bukan pertubuhan pengganas.

“Ini sangat serius kerana membabitkan keselamatan negara. Adakah keputusan Tommy ini membawa implikasi bahawa semua tahanan Daesh juga perlu dilepaskan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Peguam Negara menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 tertuduh yang sedang berdepan pendakwaan menyokong LTTE selepas mendapati tiada prospek jelas untuk mensabitkan dengan mana-mana daripada 34 pertuduhan dihadapi mereka.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tommy berkata, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Berita Harian X