Jumaat, 21 Februari 2020 | 11:06pm
“Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman
“Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

'Tak cukup bukti, kenapa dakwa'

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam mempersoalkan langkah Jabatan Peguam Negara (AG) membenarkan pendakwaan terhadap 12 tertuduh yang didakwa menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sejak dari awal.

Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkata mereka tidak sepatutnya dihadapkan ke mahkamah jika Peguam Negara yakin tiada bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dengan tuduhan berkenaan.

“Rakyat Malaysia perlu tahu adalah sangat mengejutkan apabila rakyat boleh ditahan, didakwa dan dipenjarakan tanpa jaminan untuk tempoh panjang sejak hari pertama penangkapan mereka atas tuduhan tanpa prospek jelas untuk sabitan.

“Dari kenyataan dikeluarkan Peguam Negara, nampaknya tidak ada bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dengan tuduhan kerana tidak ada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh,” katanya.

Abdul Fareed berkata, pertuduhan yang kemudian disusuli pembebasan 12 individu, termasuk dua wakil rakyat DAP itu, menimbulkan persoalan sama ada wujud salah guna kuasa penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam kes berkenaan.

“Majlis Peguam sudah berulang kali menggesa pemansuhan semua undang-undang yang menindas dan zalim termasuk SOSMA.

“Undang-undang yang kejam ini tidak sepatutnya ada dalam sebuah negara demokrasi dan ia menghina prinsip keadilan yang dipraktikkan,” katanya yang menggesa kerajaan menunaikan janji memansuhkan undang-undang itu.

Jabatan Peguam Negara hari ini, membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 tertuduh yang sedang berdepan pendakwaan menyokong LTTE.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuatnya selepas mendapati tiada prospek jelas untuk mensabitkan semua tertuduh dengan mana-mana daripada 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X