Jumaat, 21 Februari 2020 | 10:49pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador

'Polis belum terima apa-apa'

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara susulan keputusannya menggugurkan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bercakap kepada BH sebentar tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador secara ringkas mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Jabatan Peguam Negara.

“Setakat ini, belum terima apa-apa (daripada Jabatan Peguam Negara),” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, Jabatan Peguam Negara perlu melakukan tindakan sewajarnya pada Isnin ini, untuk membebaskan 12 lelaki berkenaan.

“Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah untuk menarik balik semua tuduhan terhadap mereka supaya mereka boleh dibebaskan.

“Saya juga menggesa Jabatan Peguam Negara membuat tindakan sewajarnya kepada 12 yang terbabit pada Isnin ini bagi tujuan berkenaan.

“Tidak ada lagi alasan untuk menahan mereka lebih lama dari itu,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60.

Berita Harian X