Jumaat, 21 Februari 2020 | 9:49pm
V Umah Devi menunjukkan foto suami serta anaknya, S Aadhavan. - Foto Amir Mamat
V Umah Devi menunjukkan foto suami serta anaknya, S Aadhavan. - Foto Amir Mamat

'Suami boleh teman saya bersalin'

ALOR GAJAH: Tiada yang lebih menggembirakan V Umah Devi apabila mendapat perkhabaran bahawa suaminya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan bakal dibebaskan tidak lama lagi.

Umah Devi, 32, yang sedang mengandung enam bulan anak kedua itu, tidak menyangka doanya setiap hari supaya suaminya dibebaskan akhirnya dimakbulkan Tuhan.

Beliau berkata, setiap hari sejak suaminya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), beliau tidak berhenti berdoa, selain berharap mahkamah membuat keputusan membebaskan suaminya.

“Sepanjang 135 hari, saya berdoa pada Tuhan supaya apabila saya bersalin nanti, suami ada bersama saya. Itu saja saya punya doa sebab anak pertama dulu (S Aadhavan, 2 tahun) memang suami teman dari mula mengandung sehingga lahir.

“Tapi untuk anak kedua, sejak saya buka buku (rawatan ibu mengandung), sampai hari ini saya pergi seorang.

“Namun, apabila dimaklumkan oleh peguam bahawa suami akan pulang ke rumah, saya sangat bersyukur dan gembira. Terbukti doa saya dimakbulkan Tuhan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Idaman, Durian Tunggal di sini, petang tadi.

Timbalan Pengerusi DAP Melaka yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee turut meluangkan masa menziarahi keluarga itu.

Beliau mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara hari ini, membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Tommy berkata, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Selain itu, Umah Devi turut mengakui akan membuat persiapan menanti kepulangan suaminya, termasuk memasak makanan kegemaran suaminya apabila pulang kelak.

“Dia suka makan daging kambing masak kicap, ada satu ketika dia pesan supaya saya bawa makanan itu ketika melawatnya di penjara, saya tunaikan permintaan dia,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta Peguam Negara kerana membebaskan Saminathan.

Berita Harian X