Jumaat, 21 Februari 2020 | 9:23pm
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jenayah Majlis Peguam Malaysia, Muhammad Hasif Hasan. - Foto ihsan Muhammad Hasif Hasan
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jenayah Majlis Peguam Malaysia, Muhammad Hasif Hasan. - Foto ihsan Muhammad Hasif Hasan

Terkejut tindakan Peguam Negara gugurkan kes LTTE

KOTA BHARU: Seorang peguam kanan mengakui terkejut dengan keputusan Peguam Negara menggugurkan tuduhan terhadap 12 tertuduh yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Majlis Peguam, Hasif Hasan, berkata beliau cuba memahami dan berfikir secara rasional tindakan Peguam Negara yang menggugurkan tuduhan berkenaan.

Walaupun terkejut, beliau faham bahawa ia adalah hak mutlak Peguam Negara yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia.

“Memiliki gambar pemimpin yang kumpulan mereka diharamkan adalah berbeza dengan memiliki gambar lucah yang secara jelas bersalahan dengan Seksyen 292 Kanun Kesiksaan.

“Saya tidak berjumpa peruntukan undang-undang bagi kesalahan memiliki dan menyimpan mana-mana gambar individu, pemimpin kumpulan atau gerakan mahupun gambar Benjamin Netanyahu, Slobodan Milošević atau Adolf Hitler iaitu pengganas antarabangsa.

“Saya juga tidak berjumpa peruntukan undang-undang mengenai kesalahan perbuatan mana-mana individu yang menyayangi, mencintai, memuja pemimpin berkenaan dan menjadikan mereka idola,” katanya ketika dihubungi BH bagi mengulas kenyataan yang dimuat naiknya di Facebook berhubung keputusan Peguam Negara menggugurkan tuduhan terhadap 12 tertuduh yang sebelum ini didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

Beliau berkata, perkara yang menjadi kesalahan adalah gerakan mengembangkan dan menyebarkan ideologi berkenaan kepada masyarakat yang akan membahayakan dan menggugat keselamatan negara.

Katanya, beliau tidak mengetahui fakta sebenar kes berkenaan dan setakat mana bukti yang ada dalam kertas siasatan pihak pendakwa raya.

“Sekiranya mana-mana individu memakai baju yang mempunyai gambar pemimpin berkenaan dan memakainya di tempat awam atau membawa buku berkaitan kumpulan berkenaan di tempat awam, saya percaya ia kepada perbuatan cuba menyebarkan fahaman berkenaan, adalah satu kesalahan.

“Jika saya sebagai peguam bela mereka yang terbabit, anak guam saya mengakui mereka sangat taksub dan minat melampau pemimpin berkenaan tetapi anak guam saya tidak pernah cuba menyebarkan fahaman atau ideologi pemimpin berkenaan, kecintaan itu hanya di dalam diri mereka sendiri, adakah ianya juga satu kesalahan?.

“Mungkin saya agak ‘bias’ kerana memikirkan dari sudut pembelaan, cuma bagi saya agak sukar pihak pendakwa raya membuktikan kesalahan anak guam saya sekiranya taksub dan memiliki gambar mereka semata mata,” katanya.

Jelasnya, beliau meraikan dan menyantuni perbezaan pendapat setiap orang kerana kita semua mempunyai pendapat dan pandangan tersendiri.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara hari ini, membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60.

Berita Harian X