Jumaat, 21 Februari 2020 | 12:00pm
(DARI kiri) Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution Ismail dan Salahuddin Ayub.
(DARI kiri) Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution Ismail dan Salahuddin Ayub.

Debaran mesyuarat Majlis Presiden

KUALA LUMPUR: Sama ada isu peralihan kuasa Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dimuktamadkan atau tidak, dijangka diketahui selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam ini.

Cakap-cakap mengenai pelan peralihan kuasa sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu, dengan pemimpin parti politik, termasuk pembangkang masing-masing melontarkan pelbagai pandangan mengenai ‘bila dan siapa’ yang sepatutnya menggantikan Dr Mahathir.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) secara dasarnya mempunyai perjanjian mengenai pengganti Dr Mahathir selepas dua tahun mentadbir, situasi itu dikeruhkan dengan gerakan pembangkang yang dilihat turut terbabit dalam mencaturkan isu berkenaan.

Ketika pemimpin komponen PH sendiri berbeza hujah dan pandangan, isu turut dihangatkan oleh pendirian PAS dan UMNO yang dilaporkan merancang mahu Dr Mahathir terus kekal hingga habis penggal.

Malah, PAS merancang mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi menzahirkan sokongan mereka kepada kepemimpinan Dr Mahathir.

Mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya menjadi tumpuan susulan kenyataan Anwar yang juga Presiden PKR baru-baru ini, yang menyebut pelan peralihan kuasa akan dimuktamadkan ketika mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Anwar selepas pertemuan Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan Dr Mahathir, minggu lalu bagi membincangkan isu berkenaan selepas PAS, sekumpulan pemimpin UMNO dan sebilangan kecil pemimpin PKR dikatakan berusaha mendapatkan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong kepemimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Sejauh mana keputusan mesyuarat itu akan menamatkan spekulasi berhubung isu peralihan kuasa, ia hanya akan diketahui selepas ‘mesyuarat besar’ itu berakhir.

Bagaimanapun, Anwar ketika ditemui semalam berkata, isu peralihan kuasa hanya menjadi sebahagian topik perbincangan dalam mesyuarat malam ini.

“Ya, (perbincangan isu) peralihan sebahagian yang sudah dipersetujui. (Akan) dapat diselesaikan dalam setengah jam. Fokusnya (malam ini) adalah isu ekonomi,” katanya.

Sekretariat Majlis Presiden PH pula tidak mengetahui sama ada isu peralihan kuasa akan ditimbulkan dalam mesyuarat malam ini atau sebaliknya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan akan ada pramesyuarat Majlis Presiden PH seperti dilaporkan media semalam.

“Hanya mesyuarat Majlis Sekretariat PH akan dijalankan sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH,” katanya.

Namun, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika dihubungi mengesahkan pramesyuarat PH biasa diadakan dan akan berlangsung sebelum mesyuarat Majlis Presiden.

Difahamkan, pramesyuarat itu hanya akan dihadiri enam pemimpin utama PH iaitu Dr Mahathir; Anwar; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mesyuarat Majlis Presiden pula dihadiri enam pemimpin terbabit bersama 20 pemimpin parti komponen masing-masing, termasuk Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sebelum ini ada juga laporan media mendakwa Perdana Menteri kemungkinan menyentuh kerjasama menerusi Pakatan Nasional pada pramesyuarat Majlis Presiden PH namun tiada pengesahan.

Ada juga dakwaan Dr Mahathir sudah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen berdasarkan jumlah Akuan Bersumpah (SD) ditanda tangani Ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau kekal Perdana Menteri sehingga berakhir penggal.

Ia dikuatkan lagi dengan pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi giat melobi Ahli Parlimennya untuk mendapatkan SD menyokong Dr Mahathir.

PAS pula awal-awal lagi sudah menyatakan sokongan 18 Ahli Parlimennya kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggal Parlimen ke-14 berakhir.

Berita Harian X