Khamis, 20 Februari 2020 | 2:17pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Usul peralihan kuasa PM bakal dibincang?

KUALA LUMPUR: Sebarang usul termasuk berkaitan peralihan kuasa perdana menteri lazimnya dibincangkan di peringkat kepimpinan parti sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kebiasaannya pemimpin majlis tertinggi parti komponen PH akan menemui kepemimpinan parti masing-masing bagi membincangkan perkara berkaitan sebelum dirujuk kepada sekretariat Majlis Presiden PH.

Ketika ditanya sama ada usul peralihan kuasa perdana menteri akan menjadi agenda mesyuarat esok, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, tidak mengulas panjang.

“Itu kena tanya sekretariat (Majlis Presiden PH),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, isu peralihan kuasa kepemimpinan negara akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH, esok.

Ia susulan pertemuan antara Presiden PKR dengan Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu bagi membincangkan isu berkenaan selepas PAS, sekumpulan pemimpin UMNO dan sebilangan kecil pemimpin PKR dikatakan berusaha mendapatkan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong kepemimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Sebelum ini, PAS dilaporkan menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal menerusi usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Pada masa sama, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, mendakwa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, giat melobi Ahli Parlimennya untuk mendapatkan SD menyokong Dr Mahathir.

Dr Mahathir dijangka mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, malam esok.

Berita Harian X