Rabu, 19 Februari 2020 | 10:58pm
Dr Mahathir menyampaikan ucaptama sempena Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga, di Kuala Lumpur, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Mahathir menyampaikan ucaptama sempena Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga, di Kuala Lumpur, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Jatuhkan pemimpin menerusi demokrasi - PM

KUALA LUMPUR: Rakyat berhak menjatuhkan mana-mana pemimpin yang menggubal dasar tidak baik selepas peralihan tampuk pemerintahan kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selari amalan demokrasi, Perdana Menteri berkata, kuasa sedemikian diamanahkan pada tangan rakyat sebagai pengundi, sekali gus menjamin hala tuju negara pada masa depan.

“Bila saya buat keputusan untuk letak jawatan pada 2002, saya percaya segala rancangan yang berjaya akan diteruskan supaya kita dapat capai Wawasan 2020 dan menjadi negara maju.

“Tetapi saya lihat, bila letak jawatan, ada pertukaran dari segi pemikiran dan dasar disebabkan kepemimpinan baharu yang nak perkenalkan cara tersendiri.

“Kemerosotan demi kemerosotan terjadi apabila pemimpin silih berganti. Jadi, kita tidak boleh jamin sesuatu dasar yang baik akan kekal, walaupun wujud peralihan tampuk pemerintahan.

“Jika dasar yang diperkenalkan pemimpin itu tidak baik, maka menjadi tanggungjawab kita untuk jatuhkannya,” katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama sempena Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Terdahulu ketika ucaptama, Dr Mahathir berpesan supaya masyarakat dipimpin oleh hanya seorang nakhoda bagi memastikan tiada perbalahan dalaman, angkara percanggahan corak dan hala tuju kepemimpinan.

“Sebenarnya dalam satu masyarakat perlu didorong dan dipimpin sekurang-kurangnya seorang pemimpin. Kalau terlalu banyak pemimpin, akan timbul juga masalah kerana mereka akan berlawan antara mereka.

“Mereka lupa kepada tugas mereka untuk memimpin dan habiskan masa serta tenaga, bersaing sesama sendiri. Maka mereka akan hilang keupayaan memimpin.

“Pemimpin kena tunjuk kebolehan tinggi supaya tiada orang mencabar. Tiada pihak lain yang cuba merebut kedudukannya sebagai pemimpin,” katanya.

Menyentuh nilai peribadi seorang pemimpin, Perdana Menteri berkata, ketua harus berani, tetapi bukan bermakna sehingga sanggup menghadapi bahaya secara membuta tuli sehingga mengundang kesan negatif kepada pengikut.

Sebaliknya, beliau berkata, keberanian harus seiring kemampuan untuk memikir, menilai dan menentukan kebolehan diri dalam mengharungi cabaran pada masa depan.

“Orang berani boleh jadi pemimpin. Yang takut tak boleh jadi pemimpin. Tak boleh berdepan cabaran dan bahaya. Bahkan, apabila berdepan dengan musuh atau pembesar, mereka perlu lebih yakin untuk nyatakan apa yang perlu,” katanya.

Berita Harian X