X
Ahad, 16 Februari 2020 | 4:11pm

Semakin ramai pemilik tanah Kampung Baru faham konsep pembangunan

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata siri perjumpaan secara berkumpulan dengan pemilik tanah Kampung Baru, di sini berjaya mengubah salah faham mereka terhadap usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.

Khalid berkata, perjumpaan pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dengan kumpulan kecil penduduk itu masih berlangsung bagi membincangkan isu yang berbangkit berhubung pembelian tanah kawasan berkenaan.

“Setiap kali ada perjumpaan, kita nampak maklum balasnya positif. Orang yang selama ini ada ‘misconception’ (salah faham), dia sudah faham yang kita cuba nak lakukan.

“Sekarang ini, (perjumpaan) sudah melebihi 50 peratus (pemilik) membabitkan tanah keseluruhannya melebihi 80 ekar (32.3 hektar),” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan isu pembangunan Kampung Baru pada sidang media selepas merasmikan Kenduri Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Sebelum ini, Khalid berkata, pihaknya optimis Pelan Pembangunan Kampung Baru akan dapat dimuktamadkan pada Jun ini berdasarkan maklum balas diterima daripada kalangan pemilik tanah di kawasan itu.

MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hadir pada Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Inisiatif Wilayah Peduli WP Kuala Lumpur bertempat di Pusat Komuniti Gombak Setia, Wangsa Maju. NSTP/Aswadi Alias
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hadir pada Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Inisiatif Wilayah Peduli WP Kuala Lumpur bertempat di Pusat Komuniti Gombak Setia, Wangsa Maju. NSTP/Aswadi Alias

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X