Khamis, 13 Februari 2020 | 5:10pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan hari jadi empat murid ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Amalan Guru Penyayang di Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Port Dickson. foto MOHD KHIDIR ZAKARIA

'Semak sasaran KDNK bukan perkara luar biasa' - Anwar

PORT DICKSON: Kerajaan perlu diberi masa untuk membuat semakan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengenai prestasi ekonomi suku keempat 2019 negara, tidak seperti diharapkan.

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semakan sedemikian bukan perkara yang luar biasa, malah ada beberapa kes sebelum ini yang memerlukan kerajaan berbuat demikian kerana krisis kewangan atau masalah di luar kawalan.

Malah, katanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga secara berterusan semak sasaran pertumbuhan mereka.

“Ia bukan sesuatu yang tidak normal di mana-mana negara pun,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Amalan Guru Penyayang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam, di sini hari ini.

Presiden PKR merangkap Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu yakin kerajaan akan mempertimbangkan faktor-faktor baharu dalam melakukan semakan sasaran pertumbuhan KDNK negara.

“Beri masa kepada kerajaan untuk analisis semula data-data KDNK,” katanya sambil menafikan tuduhan bahawa kerajaan tidak berbuat apa-apa bagi menangani gangguan dalam sektor komoditi negara.

Semalam, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Beliau turut berkata, BNM memiliki banyak ruang untuk melaraskan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mendepani cabaran ekonomi.

Berita Harian X