Khamis, 13 Februari 2020 | 5:04pm
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Majikan perlu peka kebajikan pekerja dalam isu COVID-19 - MTUC

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menasihatkan majikan untuk tidak menggunakan COVID-19 sebagai alasan menafikan hak pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, berkata situasi yang berlaku kini memerlukan libat urus yang kerap antara majikan dan wakil pekerja, bagi memastikan penyakit dan juga kebimbangan mengenainya dapat dielakkan.

Kedua-dua pihak perlu bekerjasama dan mencari penyelesaian yang baik bagi masalah yang berlaku ketika ini, katanya dalam satu kenyataan.

“Dengan mengadakan sesi libat urus antara satu sama lain, tidak ada pihak akan mencurigai tindakan yang diambil di tempat kerja. Ini termasuklah tindakan kuarantin, jika perlu, yang seharusnya tidak dilihat sebagai mendiskriminasi tetapi demi keperluan kesihatan.

“Majikan perlu mengambil kira untuk mengurangkan pergerakan perniagaan di kawasan terjejas dan menyediakan penginapan yang bersesuaian,” katanya sambil menambah mereka boleh menggunakan sidang video pada ketika ini, sekali gus mengurangkan risiko.

Kenyataan itu turut menggariskan beberapa perkara untuk majikan, termasuk memperkuatkan dasar cuti sakit dan menggalakkan pekerja untuk duduk di rumah jika mereka tidak sihat dan tidak menghantar pekerja ke China atau negara lain yang terjejas, kecuali bagi urusan yang benar-benar perlu.

Menurut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi tanggungjawab majikan antaranya menyediakan satu kawasan kerja untuk pekerja yang bebas daripada bahaya yang diketahui, satu tempat kerja yang selamat dan tanpa sebarang risiko kepada kesihatan, kata Solomon.

Beliau berkata, majikan juga perlu mendidik pekerja mengenai tanda dan gejala COVID-19 dan langkah untuk meminimumkan risiko jangkitan, selain melaksanakan dan/atau menilai protokol respon kecemasan di tempat kerja. – BERNAMA

Berita Harian X