Khamis, 13 Februari 2020 | 4:23pm
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Lebih 100,000 jawatan baharu di sektor swasta pada 2019

PUTRAJAYA: Sejumlah 104,000 jawatan baharu diwujudkan daripada keseluruhan 8.7 juta jawatan di sektor swasta pada tahun 2019, menurut Statistik Guna Tenaga Suku Keempat 2019.

Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataannya hari ini berkata, 49.2 peratus jawatan itu diwujudkan dalam sektor perkhidmatan, pembinaan (21.4 peratus) dan pembuatan (18.4 peratus).

“Kadar jawatan diisi adalah 97.7 peratus manakala kadar kekosongan 2.3 peratus, dengan bilangan kekosongan direkodkan sebanyak 198,000 (daripada keseluruhan 8.7 juta jawatan),” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, kadar kekosongan jawatan paling banyak dicatatkan di sektor pembuatan iaitu 55.3 peratus, perkhidmatan (18.8 peratus), pertanian (14.3 peratus), pembinaan (11.5 peratus) sementara perlombongan dan pengkuarian (0.1 peratus).

Katanya pada suku keempat 2019, sebanyak 51.6 peratus daripada jawatan tertumpu dalam sektor perkhidmatan, sektor pembuatan (26.4 peratus) pembinaan (15.4 peratus) pertanian (5.6 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (1.0 peratus).

Mohd Uzir berkata, kesemua kategori kemahiran mencatatkan peningkatan dengan bilangan jawatan dalam kategori mahir naik sebanyak 19,000 kepada 2.1 juta jawatan (24.3 peratus).

“Jawatan diisi (dalam kategori mahir) adalah 97.7 peratus manakala kadar kekosongan jawatan adalah 2.3 peratus dengan bilangan 48,000,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, jawatan kategori separuh mahir meningkat 96,000 kepada 5.4 juta jawatan iaitu 62.4 peratus daripada keseluruhan jawatan.

“Kadar jawatan diisi dalam kategori ini (separuh mahir) ialah 98 peratus manakala kadar kekosongan pula adalah 2 peratus,” katanya.

Bagi kategori berkemahiran rendah pula, jumlah jawatan naik sebanyak 5,000 kepada 1.2 juta jawatan (13.3 peratus), dengan kadar jawatan diisi sebanyak 96.4 peratus, manakala kadar kekosongan 3.6 peratus. – BERNAMA

Berita Harian X