Rabu, 12 Februari 2020 | 4:53pm
PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

MATRADE pelawa penggiat aeroangkasa sertai KLIABC2020

SINGAPURA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempelawa syarikat pembekal pembuatan peralatan tulen (OEM) Peringkat 1 dan 2, penerbangan dan kalangan penggiat industri aeroangkasa asing serta Malaysia, untuk menyertai acara KLIABC 2020 pada 23 hingga 25 Jun ini.

Menurut agensi penggalakan perdagangan itu, KLIABC 2020 atau Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur adalah acara dagangan penting sektor itu dari segi perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) .

Tahun ini, acara dwitahunan yang dianjurkan menerusi kerjasama dengan Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia dan Advance Business Events of France, akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata KLIABC 2020 menumpukan usaha mengetengahkan peluang baharu, menyelami cabaran masa depan selain analisis industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta trend di rantau Asia Tenggara.

“Kami menyasarkan untuk mengendalikan kira-kira 2,700 mesyuarat perniagaan menerusi sesi B2B selama dua hari pada acara itu,” katanya pada majlis prapelancaran acara itu di sini, bersempena pembabitan MATRADE dalam Pertunjukan Udara Singapura 2020, hari ini.

Wan Latiff menyifatkan KLIABC sebagai platform paling sesuai untuk kalangan penggiat aeroangkasa antarabangsa dan Malaysia meningkatkan pengetahuan mengenai trend semasa selain membangunkan hubungan perniagaan baharu menerusi persidangan dan mesyuarat perniagaan B2B.

Acara yang pertama kali diperkenalkan pada 2015, juga sesuai bagi syarikat Malaysia khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk menjalin kerjasama dengan rakan dagang berpotensi selain meningkatkan akses pasaran serta menjamin kedudukan dalam rantaian bekalan global, katanya.

Menurutnya, KLIABC 2018 berjaya menghimpunkan 151 organisasi dari 21 negara dan mewakili kalangan pembuat keputusan dan penggiat aeroangkasa terkemuka mencari rakan kongsi Malaysia.

“Ini turut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab industri aeroangkasa rantau ini,” katanya.

Katanya, antara penggiat terkemuka yang pernah menyertai KLIABC adalah Airbus, Boeing, Embraer, Bombardier, Rolls-Royce, Safran, Spirit Aerosystems, Thales & Daher serta pelbagai syarikat penerbangan lain.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Eeinnah Liew Sook Fern di talian +603-6207 7534 atau emel liew@matrade.gov.my serta di http://malaysia.bciaerospace.com. – BERNAMA

TAG:

MATRADE, KLIABC 2020, Datuk Wan Latiff Wan Musa, Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia

Berita Harian X