X
Selasa, 11 Februari 2020 | 9:49pm

Aliran tunai operasi perniagaan antara tumpuan pakej rangsangan ekonomi - EAC

KUALA LUMPUR: Isu aliran tunai operasi perniagaan adalah antara aspek tumpuan dalam pakej rangsangan ekonomi yang sedang dirangka kerajaan bagi menangani kesan penularan novel coronavirus 2019 (2019-nCov).

Selain itu, kerajaan akan turut memperkenalkan inisiatif bagi menggalakkan perbelanjaan domestik dan pelancongan dalam negara untuk menjana pertumbuhan menerusi permintaan domestik lebih tinggi.

Urus Setia Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, menjelaskan pakej rangsangan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Ini susulan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi EAC bagi 2020 di Putrajaya hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Mesyuarat itu membincangkan secara khusus kesan penularan 2019-nCoV ke atas pertumbuhan ekonomi negara dan antara sektor dikenal pasti mudah terkesan adalah perkhidmatan seperti industri pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

“Sehubungan itu, EAC berkata Kementerian Kewangan sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian, agensi dan pihak industri serta syarikat perkhidmatan yang terbabit bagi mendapatkan input dalam merangka pakej rangsangan ekonomi itu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, EAC turut membincangkan cadangan ke arah pembaharuan dalam pasaran modal tempatan bagi membantu pasaran untuk terus berkembang dan membangun secara inklusif.

“Cadangan ini seiring dengan perubahan landskap pasaran modal, teknologi kewangan dan jangkaan pemain industri serta pelabur,” menurut kenyataan itu lagi.

EAC turut menyatakan pada masa sama, langkah ini turut mengukuhkan lagi aspek kawal selia dan asas institusi.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, EAC bersetuju supaya forum sedia ada diperkemas dengan lebih proaktif supaya semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal dan bank pusat serta pemain industri dapat bekerjasama dengan lebih erat,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan prinsip pembangunan inklusif, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan holistik pembangunan dan peningkatan taraf sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli.

“Antara isu utama yang dibincangkan adalah pemilikan dan pembangunan tanah adat, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan infrastruktur asas serta pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli.

“EAC juga bersetuju pelan tindakan lebih khusus dilaksanakan segera untuk menangani isu berkenaan, termasuk mendapatkan kerjasama semua kerajaan negeri,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X