Selasa, 11 Februari 2020 | 3:44pm
Dr Wan Azizah melakar seni lukis 'Fasih Digital' selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2020 - Edisi Malaysia hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee (kiri). - foto BERNAMA
Dr Wan Azizah melakar seni lukis 'Fasih Digital' selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2020 - Edisi Malaysia hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee (kiri). - foto BERNAMA

Facebook, syarikat telekomunikasi komited bantu tangani penyebaran pornografi

PUTRAJAYA: Semua syarikat telekomunikasi tempatan memberi komitmen membantu kerajaan bagi menangani penyebaran bahan pornografi membabitkan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kesediaan itu dinyatakan wakil syarikat berkenaan kepada beliau dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata persetujuan sama turut dilahirkan dalam pertemuannya bersama wakil Facebook (FB) di Malaysia dan rantau ini dua minggu lalu.

Ia bagi melapor dan menurunkan bahan-bahan jenayah di Facebook dan memudahkan pelaksanaan undang-undang terhadap kes-kes pornografi dan pengantunan kanak-kanak (child grooming).

“SOP sedia ada oleh SKMM kepada semua syarikat telekomunikasi akan diselaraskan lagi bagi mempercepat dan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, terutama bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Dua minggu sebelum itu, saya bertemu dengan wakil Facebook di Malaysia dan rantau ini.

“Persetujuan dicapai untuk meningkatkan kolaborasi (kerjasama) di antara agensi pelaksana undang-undang dengan Facebook untuk melapor dan menurunkan bahan jenayah di Facebook dan bagi memudahkan pelaksanaan undang-undang ke atas kes pornografi dan pengantunan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keselamatan Internet atau ‘Safer Internet Day’ (SID) 2020 – Edisi Malaysia dan forum Memupuk Fasih Digital Di Era Millenia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Eddin Syazlee Shith.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga sudah mengadakan pelbagai program bagi menggalakkan ibu bapa dan keluarga bijak menggunakan gajet dalam berkomunikasi dan meningkatkan hubungan kekeluargaan.

LPPKN juga sudah membangunkan Modul Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) iaitu antara usaha dan sokongan kepada Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

“Berdasarkan pindaan akta itu, ia menegaskan kesedaran ibu bapa dan penjaga amat penting dan perlu ditingkatkan dalam menangani isu pengabaian, kecuaian dan penderaan kanak-kanak termasuk keselamatan di alam siber.

“Antara perkara baharu yang diliputi dalam akta ini adalah seperti kesalahan seksual, ‘child sexual grooming’ dan pornografi kanak-kanak, yang mana sebahagian daripada perkara itu turut disentuh dalam modul PEKA,” katanya.

Berita Harian X