Sabtu, 8 Februari 2020 | 5:28pm
ORANG ramai membanjiri Jalan Kebun Bunga ketika sambutan Thaipusam di Georgetown. - Foto BERNAMA
ORANG ramai membanjiri Jalan Kebun Bunga ketika sambutan Thaipusam di Georgetown. - Foto BERNAMA

Thaipusam dirai meriah di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Thaipusam yang dirai pada bulan ‘Thai’, bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, disambut meriah oleh jutaan penganut agama Hindu di seluruh negara sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan, hari ini.

Kemeriahan sambutan perayaan itu khususnya di Batu Caves menyaksikan lautan penganut Hindu

dan pelancong tempatan serta asing, membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swami di sini sejak jam 6.30 pagi dan ada yang turut sama mendaki 272 anak tangga di kuil berkenaan.

Bagi penganut Hindu, peluang menghadiri upacara keagamaan itu digunakan untuk menyempurnakan nazar masing-masing dengan membawa ‘pal koodam’ (belanga susu) dan ‘kavadi’ selain memecahkan kelapa serta mencukur kepala sebagai penebus dosa.

Di Selangor, pelajar Chin Siew Bee, 23, mengambil kesempatan cuti umum membawa ahli keluarganya berkunjung ke Batu Caves bagi menyaksikan suasana perayaan itu.

“Saya menaiki bas dari Sri Gombak ke sini kerana susah hendak parkir, lagi pun ini pertama kali datang ke sini untuk melihat mereka merayakan perayaan ini dan ia sangat meriah apabila saya berpeluang menyaksikan sendiri upacara mandi susu serta menaiki 272 tangga beramai-ramai,” katanya.

Tinjauan BERNAMA mendapati ada dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing mengambil langkah memakai topeng hidung dan mulut untuk mengelak jangkitan koronavirus.

Pelancong dari Romania yang mahu dikenali sebagai Bogdan, 23, berkata wujud keperluan untuk mengambil perlindungan tambahan terutama apabila berada di tempat yang ramai orang.

Di Pulau Pinang, ribuan penganut Hindu mula membanjiri Jalan Kebun Bunga di Georgetown seawal 6 pagi, dengan memakai pakaian kuning yang melambangkan kesucian, sebelum berjalan sejauh dua kilometer ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani.

Turut kelihatan beberapa pembayar nazar dengan membawa kavadi, sambil beberapa pelancong menyaksikan sendiri kemeriahan perayaan itu yang disifatkan begitu unik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, berkata sambutan Thaipusam di negeri itu sejak semalam berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

ANTARA pelancong yang hadir memakai penutup muka ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA pelancong yang hadir memakai penutup muka ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Di PERAK, Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh menjadi tumpuan ribuan penganut Hindu setiap kali sambutan Thaipusam dengan perarakan pedati menuju ke Kuil Sri Subramaniar bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari di Buntong sejak tengah malam tadi.

Perarakan diiringi alunan alat muzik tradisional dan barisan ‘Thanner Pantall’ iaitu khemah sementara yang menempatkan makanan dan minuman secara percuma kepada pengunjung yang mengikuti ritual itu turut menarik perhatian pelancong tempatan dan asing.

Di KEDAH, dianggarkan 100,000 penganut Hindu membanjiri Jalan Kuala Ketil dekat Pekan Lama, di Sungai Petani yang menempatkan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam (Kuil Sri Subramaniya) bagi melepaskan niat dan menunaikan nazar masing-masing.

Selain penganut Hindu, beberapa masyarakat Cina turut kelihatan bersama-sama menyertai upacara keagamaan itu termasuk membayar nazar dengan berarak membawa ‘kavadi’ dan belanga susu ‘pal koodam’.

Di JOHOR, Kuil Sri Muniswarar di Jalan Skudai-Johor Bahru, Tampoi adalah antara kuil yang menjadi tumpuan penganut Hindu dan dianggarkan 10,000 orang hadir ke kuil itu seawal 8 pagi.

Sambutan juga dimeriahkan dengan perarakan kavadi sejauh empat kilometer bermula dari kuil berkenaan ke Kuil Sri Subramaniar di Jalan Pengkalan Rinting dan kembali semula ke kuil Sri Muniswarar.

Di NEGERI SEMBILAN, meskipun tiada perarakan besar-besaran dibuat tahun ini, sambutan Thaipusam tetap meriah.

Tinjauan di Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Jalan Yam Tuan yang juga kuil tertua dan terbesar di Seremban, mendapati kira-kira 2,000 penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan seawal 6 pagi bagi melakukan acara sembahyang dan aktiviti keagamaan lain.

Di SABAH, lebih 1,000 penganut Hindu daripada pelbagai daerah di Sabah hadir meraikan perayaan itu di Kuil Sri Subramaniar, Kem Lok Kawi. – BERNAMA

ANTARA pelancong yang hadir memakai penutup muka ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves. - Foto BERNAMA
ANTARA pelancong yang hadir memakai penutup muka ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves. - Foto BERNAMA

Berita Harian X