Khamis, 6 Februari 2020 | 11:56pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 peringkat negeri di Botani Eco Park 1, hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 peringkat negeri di Botani Eco Park 1, hari ini. - Foto BERNAMA

Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke sambutan Tahun Baharu Cina

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 peringkat negeri di Botani Eco Park 1 dekat sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi, barisan Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin berkenan menyaksikan persembahan khas Tarian Bendera Ikan Pangkor dan Multiracial Drum daripada Blossom Bunga Raya serta tarian naga selain melakukan gimik Yee Sang sebelum menyampaikan ang pau kepada anak yatim.

Majlis santapan diiringi Persembahan Multi Racial Dance, tarian kipas, persembahan angklung, gambang dan tarian singa atas tiang, multi racial drum dan dikir barat.

Sempena sambutan itu, kira-kira 10,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri taman rekreasi itu bermula jam 6 petang sehingga 10 malam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dalam ucapannya berkata sambutan itu yang bertemakan ‘Sama-Sama Kongsi’ membawa maksud semua masyarakat berbilang kaum perlu bersama mengukuhkan perpaduan dan bersatu tanpa mengira bangsa dan agama.

“Semua masyarakat harus memahami dan menghayati pentingnya perpaduan setiap kaum dan menghormati kewujudan masing-masing dalam mempertahankan kemerdekaan supaya menjamin keamanan negara yang makmur,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X