Khamis, 6 Februari 2020 | 3:01pm

KPDNHEP kompaun peniaga jual topeng muka mahal

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan penularan novel coronavirus (2019 nCoV) di China, dengan menjual harga topeng muka lebih daripada harga kawalan.

Sejak 25 Januari lalu, penguat kuasa kementerian itu sudah menjalankan pemeriksaan di premis yang menjual topeng termasuk farmasi dan mengenakan kompaun kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barang berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal, berkata dalam operasi yang dilaksanakan sejak 25 Januari lalu, penguat kuasa mengeluarkan kompaun bernilai RM21,700 yang mana sembilan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Operasi dibuat susulan 31 aduan orang ramai. Sebanyak 1,314 premis seluruh negara diperiksa. Daripada jumlah itu, kita mengambil tindakan kepada sembilan premis dan merampas topeng muka bernilai RM3,475.50,” katanya selepas melawat kilang pembuatan topeng muka Cross Protection (M) di Jalan Meru, hari ini.

Yang turut hadir bersama, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Mengulas mengenai lawatan itu, beliau berkata, kementerian mahu berbincang dan memahami lebih dekat proses dan mengetahui kapasiti pengeluaran topeng muka susulan aduan yang diterima pihaknya mengenai kekurangan barangan itu.

Hasil perbincangan mendapati syarikat ini mampu mengeluarkan 400,000 topeng muka sehari dan akan menambah 100,000 unit lagi ke pasaran.

Sementara itu di Johor Bahru, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata dua farmasi menjual topeng muka di sekitar Kulai dan Johor Bahru dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, AKHAP 2011 iaitu menjual apa-apa barangan terkawal dengan harga yang tinggi daripada harga kawalan.

Dua farmasi itu dikompaun pada 30 Januari dan 5 Februari (semalam) masing-masing dengan kadar kompaun RM500 dan RM10,000.

“Permintaan terhadap topeng muka meningkat. Sehubungan itu, KPDNHEP Johor telah menjalankan pemeriksaan berkaitan topeng muka mulai 29 Januari lalu di semua rangkaian perniagaan terbabit seperti farmasi, kedai ubat-ubatan dan premis yang menjual topeng muka seluruh Johor.

“Hingga hari ini, KPDNHEP Negeri Johor sudah menjalankan 135 pemeriksaan ke atas premis yang menjual dan membekalkan topeng kepada para pengguna. Berdasarkan pemeriksaan berkenaan, dua kes dihasilkan ke atas premis di sekitar Kulai dan Johor Bahru”, katanya.

Ada lima jenis topeng muka yang ditetapkan harga maksimum runcit bagi barang harga terkawal. Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan gelung telinga berharga RM5 sekotak pada harga borong dan RM7 sekotak pada harga runcit.

Topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan gelung telinga berharga RM8 sekotak pada harga borong dan RM10 atau RM 0.20 sen seunit pada harga runcit. Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan gelung telinga/gelung kepala pula berharga RM25 sekotak pada harga borong dan RM0.80 sen seunit pada harga runcit.

Lima jenis topeng muka dikawal harganya di bawah AKHAP 2011. Sebarang pelanggaran peruntukan akta berkenaan boleh menyebabkan individu didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50,000.

Syarikat pula boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000.

Berita Harian X