Khamis, 6 Februari 2020 | 1:05pm
PRESIDEN MITA, Uzaidi Udanis. NSTP/ Sairien Nafis
PRESIDEN MITA, Uzaidi Udanis. NSTP/ Sairien Nafis

Coronavirus: MITA perkasakan pasaran domestik

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) akan memperkasakan pasaran domestik dan ‘inbound’ bagi menangani kesan penularan kluster coronavirus terhadap industri pelancongan negara.

Persatuan itu juga bakal menganjurkan Pameran e-Travel MITA 2020 dengan tindakan itu adalah selari dengan saranan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mahu industri pelancongan domestik diperkasakan.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis, mengakui optimis sektor pelancongan negara akan pulih dan lebih berdaya saing, selain berterima kasih kepada kerajaan susulan lantikan bagi menganggotai Jawatankuasa Kerja Khas Pemulihan Pelancongan Negara (TRAC) diterajui Mohamadin.

Pameran e-Travel MITA yang bakal dianjurkan juga akan memberi peluang kepada semua pemain industri pelancongan menawarkan harga istimewa bagi produk pasaran domestik.

“Pakej ini akan ditawarkan dengan diskaun sehingga 70 peratus secara dalam talian bagi membolehkan lebih ramai menikmatinya, selain dipamerkan dan dijual di acara ini.

“MITA juga akan menganjurkan siri jelajah ke pasaran ASEAN, Eropah dan Russia bagi menggalakkan pelancong dari negara itu mengunjungi Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Mohamaddin julung kalinya mempengerusikan mesyuarat TRAC bagi membincangkan pelbagai isu dialami penggiat industri pelancongan negara ekoran penurunan mendadak jumlah pelancong dari China susulan penularan kluster dikenali 2019-nCoV itu.

Susulan itu, Mohamaddin mengumumkan beberapa strategi ‘quick win’, termasuk promosi taktikal pelancongan ke pasaran yang boleh menyumbang pelancong berkualiti dan berbelanja besar ketika melancong.

Ahli Parlimen Lahad Datu itu juga menjelaskan usaha pemerkasaan sektor pelancongan domestik bagi tujuan mengimbangi penurunan ketibaan pelancong asing perlu disokong semua pihak, terutama penggiat industri.

Mesyuarat itu turut menyaksikan kesepakatan antara kumpulan penggiat industri pelancongan negara dan kerajaan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu terbabit.

Berita Harian X