Selasa, 4 Februari 2020 | 5:20pm
DUTA Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin. NSTP/Edmund Samunting.
DUTA Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin. NSTP/Edmund Samunting.

Masalah pengangkutan, ubah keputusan saat akhir baki rakyat kita tidak pulang

KUALA LUMPUR: Masalah pengangkutan dan permit perjalanan serta ada sebilangannya mengubah keputusan saat akhir untuk terus tinggal di China antara sebab 30 rakyat Malaysia yang kini menetap di Wuhan tidak pulang ke tanah air semalam.

Bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berkomunikasi bagi mendapatkan maklumat berkaitan bantuan dan keperluan mereka di sana.

“Setakat ini semua terkawal. Kami ada buat ‘WeChat group’ untuk sentiasa berkomunikasi. Semalam, ada sebilangan tidak sempat tiba untuk mendaftar masuk pesawat disebabkan kenderaan yang menghantar mereka ke lapangan terbang membatalkan perjalanan saat akhir.

“Ada juga kekangan berkaitan permit, sebab kerajaan China ada keluarkan permit perjalanan kepada mereka yang ingin ke mana-mana. Sebilangannya juga ambil keputusan tidak pulang pada saat akhir biarpun sudah mendaftar untuk pulang,” katanya dihubungi BH.

Beliau berkata, setakat ini belum ada rancangan untuk membawa mereka pulang ke tanah air, susulan wujud kebimbangan berkaitan bekalan makanan dan ubatan di kawasan terjejas dengan coconavirus baharu (2019-nCoV).

“Kerajaan China begitu memastikan segala keperluan mencukupi seperti makanan dan bekalan perubatan. Mungkin sedikit yang mendesak keperluan untuk mendapatkan penutup muka,” katanya.

Beliau dimaklumkan, situasi di Wuhan juga terkawal, cuma pergerakan rakyatnya terbatas disebabkan pihak berkuasa China sedang melakukan kawalan ketat bagi mengelak virus merebak.

“Mereka (kerajaan China) juga sentiasa memantau keselamatan dan bekalan makanan serta meyakinkan rakyat dan penduduk di sana, sebab sebilangan besar penduduk memang rasa sedikit khuatir,” katanya.

Menyentuh urusan membawa pulang rakyat Malaysia semalam, katanya kerajaan China memberikan kerjasama amat baik, menjadikan pengurusannya lebih mudah dan cepat.

“Proses berjalan lancar dengan kerjasama baik di antara kedua-dua kerajaan. Perbualan telefon di antara Menteri Luar (Datuk Saifuddin Abdullah) dengan rakan sejawatnya dari China pada Sabtu lalu banyak menjayakan usaha ini,” katanya.

Pagi tadi, pesawat khas Air Asia AK8265 dari Wuhan, China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membawa pulang 133 orang iaitu 107 orang yang dibawa balik daripada Wuhan, dengan lapan petugas misi, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 kru Air Asia.

Semua 107 orang yang di bawa pulang itu adalah 88 rakyat Malaysia dan19 pasangan/anak mereka bukan warga negara sudah melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Berita Harian X