Ahad, 2 Februari 2020 | 11:23pm
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidi. - NSTP/Edmund Samunting
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidi. - NSTP/Edmund Samunting

Sekretariat Malaysia di Wuhan mula beroperasi

KUALA LUMPUR: Pasukan petugas dari Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah mula mengoperasikan bilik sekretariat di bandar Wuhan untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia, susulan penularan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, dalam kenyataan malam ini berkata, tugasan pasukan itu hari ini ialah terus mengemas kini maklumat logistik dan memurnikan tindakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan.

“Usaha perbincangan lanjut juga dibuat bersama-sama kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi memastikan kelancaran proses itu,” katanya.

Setakat ini, katanya, rakyat Malaysia di Wuhan memberi maklum balas dan kerjasama baik selain menerima sokongan baik daripada kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi menggerakkan rakyat Malaysia di Wuhan.

Dalam pada itu, Raja Nushirwan memaklumkan, 141 orang terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara iaitu pasangan serta anak-anak mereka, akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan, China.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam kenyataan hari ini menyatakan seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, esok, berikutan penularan koronavirus.

Dr Wan Azizah berkata, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe. – BERNAMA

Berita Harian X