Ahad, 2 Februari 2020 | 3:39pm

Saya sendiri produk PPSMI: Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengakui beliau sendiri adalah produk daripada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang sudah dimansuhkan.

Justeru, Ahli Parlimen Muar itu berkata, hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan semula bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik disifatkan sebagai cadangan ikhlas Perdana Menteri bagi meningkatkan penguasaan bahasa terbabit dalam kalangan rakyat.

“Secara peribadi saya bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri kerana saya sendiri adalah hasil produk PPSMI yang mana dasar itu banyak membantu saya sejak dari sekolah sehingga ke hari ini.

“Bahasa Inggeris saya dahulu amat lemah dan PPSMI membantu saya dalam pembelajaran sehingga saya mengguna pakai ke alam universiti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi pertemuan dan makan tengah hari bersama peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS), di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, walaupun cadangan Perdana Menteri itu dianggap tidak popular, ia menunjukkan sifat ikhlas Dr Mahathir bagi membantu rakyat menguasai bahasa Inggeris.

“Saya tahu perkara ini bukan mudah dan tidak popular tetapi saya memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir kerana beliau berniat ikhlas untuk memastikan anak muda khususnya di bandar mendapat pendidikan terbaik.

“Saya faham (ada rungutan dan bantahan). Jadi dalam perkara ini, segala keputusan dan perbincangan akan dimuktamadkan secara bersama dalam Kabinet,” katanya.

Perdana Menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya, Jumaat lalu, menekankan mengenai perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 kemudian digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.

Berita Harian X