Ahad, 2 Februari 2020 | 1:32pm
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin. - Foto Edmund Samunting
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin. - Foto Edmund Samunting

Rakyat Malaysia di Wuhan sedang dikumpul untuk pulang

KUALA LUMPUR: Seramai 120 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China, sedang dikumpulkan pada satu lokasi oleh petugas Kedutaan Malaysia di Beijing, sebagai persiapan akhir membawa pulang mereka ke tanah air dalam tempoh terdekat.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, berkata gerak kerja itu dijalankan pasukan peninjau kedutaan Malaysia sejurus mereka tiba di Wuhan, jam 3.50 pagi tadi.

Beliau berkata, sebuah sekretariat diwujudkan bagi menyelaras pergerakan rakyat Malaysia di sana, termasuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Sedang bentuk sekretariat dan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan, termasuk urusan mengumpul rakyat Malaysia (di Wuhan),” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Ditanya pengesahan sama ada pesawat Air Asia akan digunakan untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia menerusi penerbangan terus dari Wuhan, beliau berkata, perkembangan terbabit akan dimaklumkan sedikit masa lagi.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang ditanya mengenai waktu penerbangan pulang pesawat terus dari Wuhan, turut memaklumkan perkembangan sama.

“Akan kami umumkan nanti..Insya Allah,” katanya dalam kiriman perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) sebentar tadi.

BH difahamkan, penerbangan membawa pulang 120 rakyat Malaysia itu akan dibuat menerusi satu penerbangan terus dari Wuhan ke Kuala Lumpur.

Semalam, Saifuddin memaklumkan pasukan awal Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sudah digerakkan ke Wuhan, China pagi semalam untuk urusan membawa pulang rakyat Malaysia di bandar yang menjadi pusat penularan coronavirus.

Sebaik tiba di Malaysia, semua mereka akan dikuarantin bagi memastikan tiada penyebaran virus berlaku.

Berita Harian X