Rabu, 29 Januari 2020 | 7:23pm
PANGLIMA Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
PANGLIMA Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

ATM sedia kerahkan pesawat TUDM bawa rakyat Malaysia pulang

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan asetnya dalam keadaan bersiap-sedia dikerahkan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas sekitar Wilayah Hubei, China, terutamanya di bandar raya Wuhan yang kini dikenakan perintah berkurung akibat penularan coronavirus, 2019-nCoV.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini hanya menunggu arahan sekiranya diminta berbuat demikian.

“Ketika ini, kami (ATM) belum menerima sebarang arahan kerana mereka (kerajaan) mempunyai pilihan, sama ada untuk membawa balik rakyat Malaysia menggunakan pesawat komersial atau menggunakan khidmat TUDM.

“Sekiranya menerima arahan, kami berkemungkinan menerbangkan sama ada pesawat pengangkut C130 atau A400 untuk membawa mereka kembali ke tanah air,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Affendi berkata, sebarang tindakan hanya bakal diputuskan apabila kerajaan mendapat kebenaran untuk menerbangkan pesawat negara ini ke Wilayah Hubei dan bandar raya Wuhan, sekaligus membawa pulang rakyat Malaysia.

Katanya, antara faktor utama penggunaan pesawat TUDM adalah berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di Wuhan serta lokasi mereka akan mendarat untuk mengisi bahan api.

Ketika ini, seramai 78 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional, penuntut universiti dan krew penerbangan Malindo Air dilaporkan terkandas di sekitar Wilayah Hubei dan Wuhan.

Tamat...

Berita Harian X