Jumaat, 24 Januari 2020 | 9:52pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada wakil pada Majlis Penyerahan Watikah dan Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Perlis, di Institut Kemahiran Mara (IKM), Beseri. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada wakil pada Majlis Penyerahan Watikah dan Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Perlis, di Institut Kemahiran Mara (IKM), Beseri. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Saranan tiga jawatan utama BERSATU tidak ditandingi

PADANG BESAR: Jawatan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sewajarnya tidak dipertandingkan pada pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU nanti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, ketika membuat saranan itu, berkata khidmat penyandang sedia ada bagi ketiga-tiga jawatan terbabit masih diperlukan parti dalam mengemudi BERSATU di masa hadapan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

“Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah lambang kekuatan dan perjuangan parti sejak penubuhannya.

“Banyak lagi perkara yang mesti mereka lakukan dalam memastikan parti bergerak di masa hadapan, serta semua ahli faham bagaimana cara ketiga-tiganya memimpin dan ia telah terbukti sebelum ini.

“Saya yakin ia akan disokong bakal-bakal Naib Presiden yang akan bertanding dalam pemilihan MPT nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Perlis di Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan watikah terbabit kepada 387 wakil MPKKP di seluruh negeri Perlis.

Ditanya mengenai sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan parti di mana-mana bahagian di Perlis, Wan Saiful berkata, beliau belum memutuskan sama ada untuk bertanding di Perlis.

“Jika ada pun, mungkin saya akan bertanding di BERSATU Bahagian Arau tetapi pada Ahad nanti saya akan putuskan sama ada bakal bertanding atau tidak.

“Cumanya, harapan saya ketika pemilihan Pengerusi BERSATU negeri nanti, biarlah individu terdiri daripada anak jati Perlis kerana dia lebih arif mengenai negeri ini.

“Macam saya pun, dalam seminggu ada dalam sehari dua pulang ke Perlis untuk bertemu dengan rakan-rakan bagi mengetahui hal-hal dalam negeri,” katanya.

Pemilihan BERSATU akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian yang masing-masing dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.

Sempena persidangan cawangan, BERSATU akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), termasuk sayap Srikandi serta Armada.

Tamat...

Berita Harian X