Jumaat, 24 Januari 2020 | 3:45pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Ghazali Kori
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Ghazali Kori

Janji peralihan kuasa tak penuhi syarat agama, demokrasi

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perjanjian peralihan kuasa Perdana Menteri dibuat Pakatan Harapan (PH) tidak menepati kehendak Islam dan proses demokrasi.

Beliau menyifatkan janji peralihan itu sekadar cakap-cakap sesama pemimpin mereka dan tidak memenuhi syarat serta rukun seperti digariskan dalam Islam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, menegaskan peralihan kuasa kepimpinan negara bukan seperti menukar seorang pemandu bas ekspres.

“Setakat ini (perjanjian peralihan kuasa) tidak betul, tak ikut agama. Kalau dalam Islam, kalau tak ikut agama macam mana? Saya sudah sebut dia ada syarat dan rukun dia, ini tidak ada langsung ikut Islam.

“Perjanjian tidak mengikut proses demokrasi. Demokrasi barat pun tak macam itu. Ada (perjanjian) barat Islam terima, ini Islam pun tidak ikut, demokrasi barat pun tak ikut,” katanya dipetik menerusi satu video klip menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata, jika janji yang dibuat PH mengenai peralihan kuasa tidak menepati syarat, maka janji itu tidak perlu dipenuhi.

“Kalau tak cukup syarat, rukun.. janji tidak sah. Kena tengok janji sah atau tidak. Saya cabar orang agama tengok kitab agama, janji itu betul atau tidak. Pertama, syarat mesti tepati hukum Islam. Kedua, menjaga maqasid syariah.

“Tujuan syarat pula, pertama menjaga agama, kalau ganti tak jaga Islam, haram. Tidak boleh tunai janji (penuhi) itu kalau tak jaga Islam,” katanya.

Jawatan Perdana Menteri bukan milik individu tetapi rakyat yang menentukannya menerusi proses demokrasi dan mesti menepati undang-undang.

“Perdana (Menteri) ini milik siapa? Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) ke (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Bukan milik dia, dia mesti milik kitalah (rakyat). Dalam demokrasi milik rakyat, (jadi) milik rakyat (kena) serah pada rakyat, serah kepada wakil rakyat.

“Buat undi tidak percaya di Parlimen, buat pilihan raya. Kalau (Perdana Menteri) letak (jawatan) pun beri kepada rakyat,” katanya.

Abdul Hadi baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan ramai pihak membuat dakwaan ada usaha untuk menjadikan PAS sebagai sebahagian parti kerajaan, namun pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak bentuk kerjasama seperti itu.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir menghadapi masalah menunaikan manifesto PH disebabkan setiap parti dalam gabungan itu berlumba-lumba membuat janji sendiri.

“Masing-masing parti ada janji. DAP ada janji dia, PKR ada janji, individu ada janji. Jadi kita fikir macam mana Perdana Menteri nak buat kalau banyak janji yang dia tak janji, takkan dia nak ikut janji, (jadi) dia tak buat.

“Nak turunkan harga minyak. Nak hapuskan PTPTN, ada (janji) yang bertulis ada yang tidak bertulis. Kalau janji sepakat boleh buat sama-sama. tapi masing-masing janji. DAP nak buat pilihan raya kerajaan tempatan, tapi parti lain tak setuju,” katanya.

Berita Harian X