Jumaat, 24 Januari 2020 | 12:14pm
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia turut menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Genosid PBB 1948.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia turut menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Genosid PBB 1948.

Malaysia gesa Myanmar penuhi arahan ICJ

KUALA LUMPUR: Malaysia menyifatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meluluskan langkah sementara seperti dimohon Gambia berhubung Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, sebagai hala tuju betul untuk menangani penindasan terhadap etnik Rohingya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia turut menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948 bagi memastikan krisis kemanusiaan di Myanmar itu tidak berlarutan.

“Keputusan itu mencerminkan kebimbangan serius komuniti antarabangsa terhadap keperluan menangani dengan efektif penderitaan yang dialami Rohingya, di samping menampilkan akauntabiliti serta keadilan berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang serius terhadap Rohingya,” kata kenyataan itu.

Penindasan terhadap etnik itu menyebabkan mereka membuat keputusan keluar dari wilayah mereka dan mencari perlindungan di negara berhampiran termasuk Malaysia.

“Kira-kira 100,000 pelarian Rohingya kini berada di Malaysia selepas meninggalkan Myanmar susulan krisis yang melanda,” katanya.

ICJ semalam mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera bagi melindungi etnik Rohingya.

Selain itu, Myanmar diarah mengambil ‘semua langkah dalam keupayaannya’ untuk mencegah sebarang tindakan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid PBB 1948, dan melaporkan kembali kepada ICJ dalam tempoh empat bulan.

Keputusan diumumkan Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf, susulan tindakan Gambia memulakan prosiding di mahkamah tertinggi PBB itu pada November tahun lalu, dengan menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Malaysia juga katanya, terus menyokong usaha Gambia, yang membawa kes berkenaan kepada ICJ selaras kedudukannya sebagai Pengerusi Ad Hoc Jawatankuasa Kementerian berhubung Pelanggaran Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam.

Malaysia juga melihat dengan penuh minat prosiding ICJ seterusnya berhubung permohonan Gambia terhadap lima perkara.

“Ia terdiri daripada pengisytiharan Myanmar sebagai melanggar obligasi di bawah Konvensyen Genosid; untuk menghentikan segera apa-apa perbuatan salah yang sedang berlaku dan menghormati sepenuhnya obligasinya di bawah Konvensyen Genosid.

“Juga bagi memastikan orang yang melakukan genosid dihukum oleh tribunal yang kompeten; untuk melaksanakan kewajipan membayar ganti rugi demi kepentingan mangsa perbuatan genosid yang merupakan dari kaum Rohingya; dan memberikan jaminan bahawa pelanggaran Konvensyen Genosid tidak akan berulang,” kata kenyataan itu.

Berita Harian X