X
Selasa, 21 Januari 2020 | 10:10pm

SPR buat dasar, kuat kuasa undang-undang pilihan raya

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya kepada kerajaan, bagi urusan penambahbaikan sistem dan undang-undang berkaitannya di negara ini.

Syor dikemukakan dalam laporan interim yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada minggu lalu itu memberi tumpuan kepada 15 komponen, hasil kajian saintifik dan perbandingan dengan sistem pilihan raya di negara maju, selain libat urus dengan pelbagai pihak.

Komponen diberikan fokus dalam laporan interim berkenaan, merangkumi sistem pilihan raya, badan pengurusannya, pendaftaran pengundi dan parti politik, kawalan kempen, pembiayaan politik dan kebebasan media.

Selain itu, proses pilihan raya, kod etika, pemerhati, penguatkuasaan undang-undang, kerajaan sementara, kerjasama awam dan institusi serta pendidikan sivik dan pengundi.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berpendapat lebih 30 syor dikemukakan itu boleh dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana hanya membabitkan pindaan kecil terhadap undang-undang pilihan raya dan Perlembagaan Persekutuan, manakala selebihnya memerlukan masa lebih panjang.

Antara yang mudah dilakukan, menurutnya adalah penstrukturan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada tiga entiti bebas iaitu SPR sebagai badan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya; Elections Malaysia yang menjalankan urusan pilihan raya dan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) yang melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Selain itu katanya, ERC turut mengesyorkan supaya SPR diberi kuasa dalam urusan pendaftaran parti politik dan audit dana perbelanjaan pilihan raya supaya tidak berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.

Berikut adalah transkrip temu bual BH dengan Ab Rashid di pejabatnya, semalam.

S: Boleh Tan Sri kongsikan intipati kandungan laporan interim yang diserahkan kepada kerajaan pada 17 Januari lalu?

J: ERC mengemukakan 49 syor kepada kerajaan untuk diberi pertimbangan bagi peringkat permulaan ini. Kita memaklumkan apa yang boleh dilakukan segera dan masa lebih panjang. Lebih 30 perkara boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek, sebelum PRU-15 jika dipersetujui kerajaan kerana tidak memerlukan pindaan peraturan yang banyak.

S: Bagaimana syor mengambil masa yang panjang?

J: Ada perkara lebih besar, membabitkan sistem pilihan raya itu sendiri dan ini memerlukan pindaan banyak perkara, antaranya Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, kesesuaian iklim politik dan penerimaan orang ramai kepada sistem itu. Ini akan mengubah cara kerajaan dibentuk menerusi SPR.

S: Adakah membabitkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang dimaklumkan Tan Sri sebelum ini, iaitu sistem first past the post bagi pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sistem proportional representative (perwakilan berkadar) bagi kawasan Parlimen?

J: Ya. Sistem yang mudah adalah first past the post, iaitu kita memilih calon yang kita mahu, manakala perwakilan berkadar memerlukan pengundi memilih parti. Parti yang popular akan mendapat kerusi lebih banyak.

Jika kita ketengahkan perkara ini, ia memerlukan banyak perubahan dan yang lebih penting, penerimaan umum. Ada sesetengah orang yang tidak boleh menerimanya, mereka mahukan calon secara langsung. Justeru, dua sistem pilihan raya ini memerlukan pertimbangan jangka masa panjang.

S: Apakah perubahan besar yang akan berlaku dalam SPR jika syor ERC diterima?

J: Kita akan menstruktur semula SPR. Ini akan membabitkan pindaan dalam Perlembagaan berkaitan pembentukan SPR. SPR masih wujud, tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Pertama, SPR sebagai badan induk tidak lagi menjalankan pilihan raya, sebaliknya akan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya. SPR akan membuat dasar dan menguatkuasakan undang-undang itu.

Kedua, kita akan menubuhkan badan yang menjalankan urusan pilihan raya yang buat sementara waktu ini dinamakan Elections Malaysia. Badan ini yang akan menyediakan data pemilih, daerah dan lokaliti tempat mengundi serta kemudahan mengundi. Ia akan menjalankan urusan pilihan raya sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Ketiga adalah Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC), satu badan khas yang fungsinya akan dikeluarkan daripada SPR ketika ini. Lantikan bagi ahli EBC ini hanya apabila ada keperluan, contohnya sekarang persempadanan semula dilakukan lapan tahun sekali. Jadi, setiap lapan tahun, kerajaan menubuhkan badan ini. Ia badan bebas dan mesti mendapat kepercayaan sepenuhnya bagi melaksanakan tanggungjawab secara bebas dan adil.

Tiga badan ini kita pecahkan dan saya percaya selepas itu, tiada lagi masalah di mana SPR dituduh tidak adil, banyak menyebelahi parti pemerintah dan sebagainya. Ini boleh dilaksanakan segera dengan perubahan undang-undang.

S: Boleh Tan Sri namakan negara yang kita contohi bagi melaksanakan reformasi SPR ini, selain hasil maklum balas umum yang diterima?

J: Ini adalah hasil kajian di beberapa negara maju seperti New Zealand, Australia, Kanada, United Kingdom dan Jerman. Kita mungkin akan pergi lagi ke beberapa negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Filipina. Kita boleh ambil contoh yang baik. Misalnya memecahkan entiti SPR (kepada tiga), itu kita ambil contoh daripada Kanada.

Selain itu, kita melihat permintaan dari bawah dan ternyata libat urus yang kita jalankan mendapat maklum balas yang amat baik.

S: Bagaimana dari segi pendaftaran pengundi, terutama kerajaan sudah pun melaksanakan pendaftaran automatik pengundi bagi rakyat yang berusia 18 tahun?

J: Ia antara perkara yang kita syorkan dalam laporan interim. Kita jangkakan pada PRU-15 ini, negara akan mempunyai 22 hingga 23 juta pengundi yang berusia 18 tahun ke atas.

Pengundi ini mesti sedar nama mereka ada dalam daftar pemilih. Ini sebenarnya satu cabaran kerana ketika ini, kita tahu nama kita tiada dalam daftar pemilih jika tidak mendaftar sebagai pengundi. Saya agak risau kerana kita ada rekod peratusan keluar mengundi yang baik. Dalam dua ke tiga PRU sebelum ini, peratusan keluar mengundi kita mencecah lebih 80 peratus.

Negara seperti Australia yang mewajibkan rakyatnya mengundi juga tidak mencapai peratusan seperti itu.

Justeru, dalam hal ini, kita perlu menyuntik pendidikan pengundi, sivik dan celik demokrasi. Ia mesti dibuat secara menyeluruh dan teratur supaya apa yang kita usahakan sebelum ini membuahkan hasil.

S: Bagaimana pula dari segi pendaftaran parti politik dan pembiayaan politik?

J: Kita membuat syor tanggungjawab itu mesti diberikan kepada SPR, bukan

Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti sekarang. Ini sama seperti dilaksanakan di negara maju di mana pendaftaran parti politik diletakkan di bawah pengurusan pilihan raya, justeru SPR boleh mengawal pergerakan parti politik dengan lebih dekat.

Kita juga membuat syor supaya perbelanjaan politik dan pilihan raya dikawal melalui undang-undang. Jadi, mesti ada pihak yang mengaudit dan ini tugas SPR yang baharu nanti.

Kita juga mencadangkan sesiapa yang mahu memberi sumbangan atau derma politik mesti memperkenalkan diri mereka dan diumumkan, tidak boleh senyap-senyap. Jika ada pihak yang bagi RM1 juta, ia mesti dimasukkan ke dalam akaun untuk bukti transaksi. Nama penyumbang mesti ada dan pada akhir tahun, ia mesti diaudit di mana parti perlu menyenaraikan apa yang mereka lakukan dengan wang yang diperoleh.

Selain itu, kita juga mengesyorkan supaya kerajaan memberi sumbangan kepada parti politik. Mungkin ini akan memakan masa untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

S: Tan Sri juga sebelum ini menyentuh mengenai undang-undang pengamal media bagi memberi liputan adil kepada semua pihak ketika pilihan raya. Mungkin boleh jelaskan dengan lebih lanjut?

J: Kita tidak mahu media bermain politik secara berlebih-lebihan. Mereka perlu adil dalam membuat liputan supaya masyarakat faham mengenai perjuangan dan kedudukan semua parti dan calon. Akhirnya, rakyat tahu menilai dan fikirkan siapa yang sesuai untuk dilantik, bukan hanya bagi wakil rakyat, tetapi parti yang menubuhkan kerajaan. Media mesti memainkan peranan untuk siarkan berita bagi semua pihak, bukan apa yang dimahukan majikan saja.

Kita mahu mewujudkan undang-undang supaya SPR ada kawalan dan boleh memantau. Jika ‘teruk’ sangat liputan media itu, kita akan maklumkan supaya mereka lebih seimbang dan adil untuk semua pihak. Itu demokrasi yang kita mahu capai.

Selain itu, kita juga sedang fikirkan cara untuk mengawal media siber. Media sosial pada hari ini kelihatan semakin bebas. Kita sedang bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mewujudkan undang-undang khusus untuk pilihan raya, berbanding undang-undang umum ketika ini.

Sebagai contoh, apabila tempoh berkempen sudah tamat, ia juga tidak boleh dilakukan menerusi media sosial. Banyak negara melakukan kawalan seperti ini, contohnya Filipina yang mempunyai Akta Pilihan Raya Adil, yang mencakupi setiap aspek dalam peraturannya dan hanya dipakai pada musim pilihan raya saja.

Selain itu, penyiaran maklumat juga akan ditapis dan SPR akan memantau perkara ini.

Kita akan senaraikan perkara yang menjadi kesalahan dalam bentuk undang-undang. Kita sudah tidak boleh lagi setakat ‘meminta atau menyeru’ saja orang awam atau parti politik supaya tidak melakukan kesalahan itu.

S: Bagaimana dengan syor yang membabitkan kerajaan sementara?

J: Kita akan mewujudkan konvensyen bertulis atau manual Kabinet bagi kerajaan sementara, bukan hanya mengikut konvensyen atau ‘adat’ yang ada sebelum ini. Orang tidak mahu ikut. Peraturan bertulis ini nanti akan dipersetujui semua sama ada kerajaan atau pembangkang.

Sebagai contoh, kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar semasa pilihan raya, yang membabitkan perbelanjaan dan tidak boleh umum projek baharu. Pegawai kerajaan juga tertakluk kepada peraturan dan mereka hanya boleh melakukan tugas hakiki, bukan membantu kempen.

S: Bagaimana pula dari segi pengundian dan tempoh berkempen?

J: Kita mengesyorkan supaya tempoh kempen diberikan lebih lama dengan tempoh bertenang selama dua hari. Ketika ini, selepas tamat saja kempen pada jam 12 tengah malam, pengundian terus dijalankan keesokan harinya.

Selain itu, kita mahu memperbanyakkan tempat mengundi bagi mengurangkan masa menunggu, jadi orang akan suka mengundi.

Dari segi penamaan calon, selain boleh dilakukan di pusat penamaan calon, kita juga syorkan supaya ia boleh dilakukan secara dalam talian.

Semua pengundi juga diberi kemudahan untuk mengundi dan ini akan dilakukan melalui pengundian khas. Sebagai contoh, mereka yang mendaftar di Sabah boleh mengundi di Semenanjung, jika di hospital dan penjara, mereka boleh mengundi di situ.

Kita juga mengesyorkan supaya undi pos dipermudahkan dengan melantik pegawai pengurus pilihan raya dalam kalangan pegawai kedutaan. Mereka akan terbabit dalam pengiraan undi dan hanya akan menghantar balik keputusan. Ini akan mengelakkan masalah kertas undi tidak sampai.

S: Berbalik kepada dua sistem pilihan raya yang dicadangkan, ada yang berpendapat ia masih tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana bimbang akan berlaku pembangunan yang tidak seimbang, selain negara masih belum mencapai kemajuan demokrasi seperti negara lain yang mengamalkan sistem itu. Apa pandangan Tan Sri?

J: Kita tidak akan ambil 100 peratus apa yang negara lain buat. Kita akan ikut acuan kita. Tunggu saja cadangan yang akan kita kemukakan nanti.

Tidak perlu susah hati. Kita sedang wujudkan keadaan di mana terdapatnya keadilan. Kita tidak mahu orang yang mendapat undi 40 peratus memerintah negara. Biarlah ia adil.

Saya fikir sudah lama sistem itu sesuai dilaksanakan tapi kita tidak mengikhtiarkannya. Kita akan buat ikut kesesuaian. Tunggulah laporan penuh nanti.

S: Apakah yang Tan Sri boleh rumuskan jika syor ini diterima dalam sistem pilihan raya yang baharu itu nanti?

J: Pertama, masyarakat boleh menerima apa yang dilaksanakan di negara ini bagi urusan pilihan raya. Masyarakat akan menerimanya sebagai sesuatu yang adil, telus dan tidak lagi diragui.

Kedua, kita akan mempunyai standard demokrasi pilihan raya yang setanding negara maju. Ia tidak semestinya 100 peratus bebas dan adil tapi pilihan raya itu yang boleh dipercayai dan diterima semua pihak. Seluruh masyarakat akan menguasai pilihan raya, bukan SPR saja.

Tidak perlu lagi kita sediakan polis untuk berkawal seperti mahu berperang disebabkan persepsi masyarakat yang menganggap akan berlaku penipuan, yang sekali gus menimbulkan kegusaran dan suasana tertekan.

Ketiga, kita juga akan dapat mendidik masyarakat mengenai kesedaran mengundi dan ini akan kita laksanakan melalui penubuhan satu badan yang dikenali Pusat Pendidikan Sivik dan Pengundi Kebangsaan. Pusat ini akan merancang bagaimana untuk memberi pendidikan kepada pengundi termasuk mengenai demokrasi, sivik dan hak asasi setiap warga negara.

Berita Harian X