Isnin, 20 Januari 2020 | 9:41pm

PLUS terima keputusan kekal jadi milik Khazanah, KWSP

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerima keputusan kerajaan mengekalkan syarikat itu di bawah pemegang saham sedia ada iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah)/UEM Group Berhad dengan pegangan sebanyak 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) (49 peratus).

PLUS juga menyokong penawaran pengurangan kadar tol yang sedia ada sebanyak 18 peratus bagi pengguna kenderaan persendirian dan pelanjutan tempoh konsesi selama 20 tahun, yang mana kadar tol itu terus kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, berdasarkan cadangan tarikh pelaksanaan pengurangan kadar tol mulai 1 Februari ini, pihaknya sedang memuktamadkan mekanisme pengurangan kadar tol itu.

“Ia adalah bagi mengesahkan status perjanjian konsesi sedia ada serta mengambil kira kepentingan pemegang sukuk kami,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga berkata, PLUS akan terus komited memberi perkhidmatan lebuh raya terbaik serta perjalanan yang selamat dan selesa dengan memanfaatkan inovasi untuk rakyat.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan konsesi lebuh raya kendalian (PLUS) tidak akan dijual, sebaliknya kekal menjadi milik Khazanah dan KWSP

Katanya, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas kerajaan meneliti semua bidaan dikemukakan pihak swasta dan Khazanah.

Sebelum ini, dilaporkan lima pembida mengemukakan tawaran rasmi mengambil alih PLUS, iaitu RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, serta Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPBP).

Serentak itu, kerajaan mengumumkan kadar tol di semua lebuh raya kendalian PLUS dikurangkan sebanyak 18 peratus, berkuat kuasa tahun ini, demi mengurangkan beban rakyat menanggung peningkatan kos sara hidup.

Lebuh raya terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuh Raya Utara-Selatan; Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA); Jambatan Pulau Pinang; Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Berita Harian X