Isnin, 20 Januari 2020 | 8:00pm
Kerajaan perlu segera bertindak banteras aktiviti ekonomi bayangan yang merangkumi perniagaan tidak berdaftar, kegiatan jenayah seperti penyeludupan barang terlarang atau tiruan serta pengubahan wang haram yang nilainya kini dianggarkan mencecah RM300 bilion. Kegiatan ekonomi bawah tanah itu hanya menguntungkan dalangnya dan menjejaskan hasil kerajaan malah menjadi antara punca kekurangan dana bagi melaksanakan pembangunan untuk negara. - Foto hiasan
Kerajaan perlu segera bertindak banteras aktiviti ekonomi bayangan yang merangkumi perniagaan tidak berdaftar, kegiatan jenayah seperti penyeludupan barang terlarang atau tiruan serta pengubahan wang haram yang nilainya kini dianggarkan mencecah RM300 bilion. Kegiatan ekonomi bawah tanah itu hanya menguntungkan dalangnya dan menjejaskan hasil kerajaan malah menjadi antara punca kekurangan dana bagi melaksanakan pembangunan untuk negara. - Foto hiasan

Isytihar perang ekonomi bayangan

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas mengisytihar ‘perang’ terhadap aktiviti ekonomi bayangan atau ‘shadow economy’ perlu dilancarkan segera bagi mengelakkannya daripada terus menjejaskan kepentingan negara dan rakyat dalam jangka panjang.

Ekonomi bayangan hanya menguntungkan dalangnya berikutan laba yang diperoleh tidak dicukai, sekali gus menyebabkan hasil kerajaan terjejas dan kekurangan dana untuk melaksanakan pelbagai pembangunan untuk negara serta keperluan rakyat.

Ekonomi bayangan atau dirujuk juga ‘ekonomi bawah tanah’ tidak terhad kepada isu berkaitan percukaian sahaja, tetapi juga merangkumi aktiviti jenayah seperti penyeludupan barang terlarang atau barang tiruan serta pengubahan wang haram.

Perniagaan tidak berdaftar termasuk yang diusahakan secara sambilan juga antara aktiviti ekonomi bayangan, selain mereka yang menerima bayaran gaji atau upah secara tunai bagi mengelak pelaporan kenyataan pendapatan, sekali gus mengelak membayar cukai pendapatan.

Difahamkan, mereka yang mempunyai pekerjaan tetap tetapi turut bekerja atau berniaga sambilan seperti membuka atau mengajar di kelas tuisyen atau menjual produk dan perkhidmatan secara dalam talian tanpa berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mampu meraih pendapatan lebih tinggi berbanding kerja hakiki.

Aktiviti ekonomi bayangan lain adalah perniagaan yang diusahakan warga asing menggunakan lesen rakyat tempatan serta ‘hawala’ atau khidmat kiriman wang ke luar negara secara haram tanpa rekod atau dokumentasi berbanding menerusi sistem perbankan atau syarikat kewangan.

Bagi pakar percukaian, Dr Veerinderjeet Singh, kerajaan perlu menangani isu ekonomi bayangan dengan segera.

“Jika tidak mula menangani isu itu sepenuhnya dalam masa terdekat, ia akan mengambil masa yang agak panjang untuk dibendung. Lantaran itu, penyelesaian perlu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada BH.

Veerinderjeet mengakui ancaman aktiviti ekonomi bayangan yang turut dihadapi negara lain, tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, namun boleh ditangani jika semua pihak bekerjasama.

Beliau menjelaskan, banyak cara boleh diambil bagi menangani aktiviti terbabit, terutama mengguna pakai teknologi sedia ada dalam data besar, analitik dan Internet Segalanya (IoT), penguatkuasaan lebih ketat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan percukaian.

Kerajaan juga perlu telus dalam menyalurkan maklumat mengenai perbelanjaan hasil cukai yang dikutip, memperbanyak dan memudahkan saluran untuk proses perisytiharan cukai, selain penggunaan sistem tanpa tunai.

“Penguatkuasaan yang ketat dan usaha mendidik serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pencukaian perlu diterapkan. Untuk memupuk kesedaran, kerajaan perlu lebih telus memberikan maklumat perbelanjaan hasil cukai kepada rakyat.

“Saluran isytihar cukai perlu lebih banyak, mudah, mesra pengguna dan tidak membebankan. Penyelesaian lain adalah sistem transaksi tanpa tunai yang akan membolehkan pihak berkuasa mempunyai rekod transaksi serta lebih mudah menangani aktiviti ekonomi bayangan,” katanya.

Katanya, anggaran ekonomi bayangan dunia adalah kadar 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala anggaran ekonomi bayangan di Malaysia kini pada 21 peratus.

Pada 13 Januari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia sekitar 21 peratus daripada KDNK negara iaitu kira-kira RM300 bilion, dihasilkan daripada aktiviti ekonomi tersembunyi atau jenayah terancang yang terlepas daripada pihak berkuasa.

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) menganggarkan saiz ekonomi bayangan 150 negara di antara 1991-2015 mencecah 31.9 peratus daripada KDNK negara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie mengakui aktiviti ekonomi bayangan sememangnya merugikan negara, sekali gus perlu dibendung segera.

Katanya, penggunaan teknologi seperti analisis data besar, pengawasan dan pemantauan rapat terhadap kutipan dan audit cukai mampu mengesan dan mengekang aktiviti ekonomi bayangan di negara ini.

“Komitmen jitu semua pihak diperlukan dalam menangani aktiviti ekonomi bayangan, yang mana ketika ini mewakili 21 peratus daripada KDNK negara kita, lebih tinggi berbanding paras normal 12 peratus,” katanya.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan inisiatif Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pada 2021 untuk semua perniagaan atau individu berusia 18 tahun ke atas yang mempunyai hasil pendapatan, antara kaedah sesuai dalam mengesan dan mengekang aktiviti ekonomi bayangan.

Penguatkuasaan ketat tangani ketirisan hasil kerajaan

Tindakan penguatkuasaan lebih ketat bersama pemantauan rapi oleh agensi penguat kuasa di negara ini perlu bagi membanteras aktiviti ekonomi tersembunyi termasuk penyeludupan dan jenayah terancang.

Tanggungjawab itu terletak pada pengurusan setiap agensi terbabit bagi memastikan anggota bawahan mereka tidak terbabit dalam penyelewengan, sekali gus dapat membendung ketirisan hasil negara.

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata laporan audit dari setahun ke setahun terus menunjukkan ketirisan hasil kerajaan kerana penyelewengan dan kegiatan penyeludupan masih berterusan.

“Apabila masalah ini berulang, ia menunjukkan penguatkuasaan tidak berkesan dan mereka yang melakukan jenayah itu pula tidak takut untuk terus melakukan kesalahan.

“Jadi, pendekatan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan kreatif perlu dilaksanakan bagi memastikan jenayah dapat dikekang, selain memastikan anggota penguat kuasa kekal berintegriti dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Akhbar berkata, kelemahan penguatkuasaan juga menyebabkan orang awam tidak mahu bekerjasama melaporkan penyelewengan dan enggan terbabit memberi keterangan atau tampil sebagai saksi.

“Semua pihak termasuk swasta dan orang awam perlu memainkan peranan lebih aktif bagi mencegah aktiviti ekonomi bayangan. Kalau tiada integriti, sering menipu untuk mengelak cukai dan terbabit rasuah, masalah ini akan berterusan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X