Ahad, 19 Januari 2020 | 4:24pm

Gesekan biola Dr Siti Hasmah pukau tetamu di Galeria Perdana

LANGKAWI: Gesekan biola oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memukau tetamu di Galeria Perdana, Kampung Kilim, di sini, hari ini.

Persembahan sempena program Bonda Unplugged itu turut disaksikan 114 pelajar dari tujuh sekolah rendah dan menengah di sekitar pulau ini.

Isteri Perdana Menteri membuat penampilan istimewa dengan mempersembahkan empat lagu, iaitu Hati Ke Hati, Epilog Cinta, Gubahanku dan Getaran Jiwa.

Persembahan beliau itu diiringi Eagle Cop’s Band yang dibarisi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Langkawi.

Dr Siti Hasmah mempersembahkan gesekan biola empat buah lagu iaitu Hati Ke Hati, Epilog Cinta, Gubahanku dan Getaran Jiwa pada Program 'Bonda Unplugged Live' di Galeria Perdana di Langkawi, hari ini. - Foto BERNAMA

Penonton bukan saja memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghormatan, malah teruja apabila Dr Siti Hasmah mempelawa Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, dan guru, Sufina Halim, untuk membuat persembahan nyanyian bersama-sama.

Dr Siti Hasmah sekali lagi mencuri perhatian apabila menggesek biola mengiringi nyanyian pelajar yang menyampaikan lagu rakyat kanak-kanak Rasa Sayang, Chan Mali Chan, Lompat Si Katak Lompat dan Geylang Si Paku Geylang.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim; Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman; dan Pegawai Tadbir Galeria Perdana, Mohamad Najib Adnan.

Persembahan turut diiringi oleh tujuh anggota pancaragam 'Eagle Cop's Band' Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi yang diketuai Inspektor Syed Muhammad Izzuddin Syed Salehhuddin. - Foto BERNAMA
Persembahan turut diiringi oleh tujuh anggota pancaragam 'Eagle Cop's Band' Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi yang diketuai Inspektor Syed Muhammad Izzuddin Syed Salehhuddin. - Foto BERNAMA
Berita Harian X