Ahad, 19 Januari 2020 | 2:52pm
Kedudukan kewangan PLUS dijangka tidak akan terjejas susulan penurunan kadar tol lebuh raya miliknya mulai 1 Februari ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Kedudukan kewangan PLUS dijangka tidak akan terjejas susulan penurunan kadar tol lebuh raya miliknya mulai 1 Februari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Perolehan PLUS dijangka tak terjejas selepas turunkan tol

LANGKAWI: Kedudukan kewangan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dijangka tidak akan terjejas susulan penurunan kadar tol lebuh raya miliknya mulai 1 Februari ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, PLUS sudah membuat pengakuan kepada kerajaan akan mengurangkan tol lebuh raya dan tidak akan menaikkan kadarnya selama 38 tahun.

Syarikat itu juga akan mempunyai perolehan mencukupi daripada hasil kutipan tol bagi membiayai kerja penyelenggaraan lebuh raya pada masa hadapan.

“Kita percaya bahawa penggunaan lebuh raya akan terus meningkat pada masa hadapan dan ia akan tambah pendapatan Khazanah Nasional.

“PLUS juga mempunyai pendapatan tambahan lain selain tol melalui iklan dan lain-lain kemudahan miliknya di lebuh raya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di sini.

PERDANA Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di Putrajaya, hari ini. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di Putrajaya, hari ini. - Foto Reuters

Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan PLUS tidak akan dijual dan pemilikannya dikekalkan di bawah Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Serentak itu, kadar tol lebuh raya kendalian PLUS juga akan diturunkan sebanyak 18 peratus mulai 1 Februari ini dan kadar itu kekal hingga tempoh konsesi lanjutan tamat pada 2058.

Penurunan kadar tol itu membabitkan semua lebuh raya kendalian PLUS dengan hasrat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Media sebelum ini melaporkan lima pembida mengemukakan tawaran rasmi mengambil alih PLUS, iaitu RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, serta Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPBP).

Lebuh raya terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuh Raya Utara-Selatan; Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA); Jambatan Pulau Pinang; Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE); dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH).

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah. UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus kepentingan ekuiti dalam PLUS, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.

Berita Harian X