Ahad, 19 Januari 2020 | 11:34am
GAMBAR kenangan Hafizan Mohd Noor, 31 (kiri) dengan arwah ibunya, Rohana Ismail, 54, sebelum berangkat ke Makkah. Rohana antara tujuh jemaah haji Malaysia yang maut dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada 2015 lalu. NSTP/Ihsan Keluarga

Keluarga anggap pampasan RM1.17 juta rezeki daripada arwah ibu

KOTA BHARU: “Kami menganggap pampasan diterima bernilai RM1.17 juta ini adalah rezeki daripada arwah ibu. Mungkin arwah ibu mendoakan kami sekeluarga dimurahkan rezeki dan diberi kesenangan selepas pemergiannya,” kata Hafizan Mohd Noor, 31, anak kepada jemaah haji, Rohana Ismail, 54, yang maut dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada 2015.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, mereka sekeluarga tidak menaruh harapan mendapat pampasan berkenaan memandangkan tragedi itu sudah lima tahun berlalu.

Bagaimanapun, katanya, pada akhir tahun lalu, keluarganya dihubungi Lembaga Tabung Haji (TH) yang bertanyakan bagi melantik pemegang amanah jika mendapat pampasan berkenaan.

“Awal tahun ini, kami mendapat surat daripada TH dan Amanah Raya yang meminta kami hadir ke Putrajaya untuk penyerahan pampasan itu.

“Tiada kata-kata mampu diluahkan melainkan syukur dengan rezeki ini. Kami juga berterima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas pemberian pampasan ini.

“Insya-Allah kami akan manfaatkan duit ini dengan sebaik mungkin walaupun mengakui agak berdebar dengan persepsi masyarakat kepada kami sekeluarga selepas ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Arab Saudi menyerahkan pampasan kepada semua tujuh waris jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam insiden kren tumbang di Makkah pada 2015, di Kompleks Islam Putrajaya, Selasa lalu.

Bayaran pampasan berjumlah kira-kira RM1.17 juta (1 juta Riyal) kepada setiap waris mangsa itu adalah pampasan peribadi Raja Salman Abdulaziz Al Saud kepada mangsa kejadian kren tumbang yang mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 lagi pada musim haji 1436 Hijrah.

Sumbangan itu disampaikan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan pada majlis jamuan tengah hari bersama waris dan mangsa anjuran TH bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hafizan berkata, dia yang turut hadir pada majlis penyampaian pampasan baru-baru ini turut mengalirkan air mata apabila tragedi yang berlaku di Makkah itu disiarkan kembali untuk tontonan.

“Walaupun sudah lima tahun berlalu, sehingga kini kerinduan kami sekeluarga terhadap ibu masih segar. Semua kenangan dan tingkah laku ibu sering menjadi bualan kami adik-beradik,” katanya.

Berita Harian X