Isnin, 13 Januari 2020 | 10:30pm
Sebahagian daripada sukarelawan Aman Palestin yang tiba untuk misi musim sejuk di Lembah Beqaa, Lubnan, semalam. - NSTP/Ihsan Aman Palestin Berhad
Sebahagian daripada sukarelawan Aman Palestin yang tiba untuk misi musim sejuk di Lembah Beqaa, Lubnan, semalam. - NSTP/Ihsan Aman Palestin Berhad

Aman Palestin agih RM400,000 untuk pelarian Palestin, Syria yang kesejukan di Lubnan

KUALA LUMPUR: Seramai 10 sukarelawan Aman Palestin tiba di Lembah Beeqa, Lubnan semalam, bagi menjayakan misi bantuan musim sejuk selama 14 hari di kawasan terbabit yang ketika ini diselubungi salji tebal.

Sepanjang tempoh itu, rombongan sukarelawan diketuai Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab, itu akan mengagihkan bantuan sambil menjalankan khidmat masyarakat dalam kawasan kem didiami pelarian Palestin dan Syria sekitar pergunungan Arsal dan Lembah Beeqa.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut, berkata pada misi selama 14 hari bermula 12 hingga 26 Januari kali ini, pihaknya menghantar bantuan sumbangan rakyat Malaysia bernilai lebih RM400,000.

Sukarelawan Aman Palestin memunggah barangan sejurus tiba di penempatan mereka dalam Kem Pelarian Al-Awdah, Lembah Beqaa, semalam.
Sukarelawan Aman Palestin memunggah barangan sejurus tiba di penempatan mereka dalam Kem Pelarian Al-Awdah, Lembah Beqaa, semalam.

“Kita bersyukur, pasukan sukarelawan Aman Palestin selamat sampai di kawasan sasaran misi musim sejuk kali kedua diadakan selepas kejayaan program pertama pada awal tahun lalu.

“Sumbangan yang akan diagihkan dalam misi kali ini berupa kelengkapan musim sejuk seperti pek makanan, pemanas dan kerosin, bantuan kecemasan dan wang tunai.

“Kita anggarkan bantuan kali ini mampu memberi manfaat kepada hampir 2,700 keluarga pelarian yang dihimpit pelbagai kesukaran sepanjang tempoh musim sejuk melampau yang sedang melanda penempatan mereka,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Awang Sufian berkata, sepanjang tempoh misi berlangsung, semua peserta misi berdepan cabaran tersendiri kerana akan tinggal bersama pelarian dalam kem serba kekurangan yang diselubungi cuaca sejuk dan bersalji bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Sukarelawan Aman Palestin memunggah barangan sejurus tiba di penempatan mereka dalam Kem Pelarian Al-Awdah, Lembah Beqaa, semalam.
Sukarelawan Aman Palestin memunggah barangan sejurus tiba di penempatan mereka dalam Kem Pelarian Al-Awdah, Lembah Beqaa, semalam.

Katanya, selain itu, setiap hari peserta terbabit akan turut melaksanakan program solat berjemaah dan membaca al-Quran bersama anak-anak pelarian.

“Kami berharap seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pelbagai kesulitan yang sedang dihadapi saudara seagama kita di Palestin dan Syria mendoakan semoga misi kali ini berjalan lancar dan mencapai matlamat,” katanya.

Keadaan kem pelarian di Arsal yang sedang diselubungi salji ketika ini. - NSTP/Ihsan Aman Palestin Berhad
Keadaan kem pelarian di Arsal yang sedang diselubungi salji ketika ini. - NSTP/Ihsan Aman Palestin Berhad

Orang ramai yang berhasrat menyumbang dana bagi membantu pelarian Syria dan Palestin di wilayah bergolak di Asia Barat, boleh menyumbang menerusi pautan, https://www.billplz.com/BUS.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Aman Palestin Berhad: Bank Islam: 12029010047880; Maybank: 562263010787; CIMB: 8600460353 atau menghubungi talian 03-8926 7019 (Pejabat) atau 018-290 3013 (Nabila) untuk maklumat lanjut.

Berita Harian X