Isnin, 13 Januari 2020 | 2:49pm
GUAN ENG (tengah) melancarkan IRBM Taxpayer Roadmap selepas merasmikan persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini. Seramai 237 pengarah LHDNM menghadiri persidangan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. - foto BERNAMA
GUAN ENG (tengah) melancarkan IRBM Taxpayer Roadmap selepas merasmikan persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini. Seramai 237 pengarah LHDNM menghadiri persidangan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. - foto BERNAMA

Kabinet bincang cadangan ambil alih PLUS Rabu ini - Guan Eng

GEORGETOWN: Cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata beliau tidak boleh mendedahkan lebih lanjut termasuk pihak mana yang berjaya dalam bidaan kerana ia membabitkan pengumuman penting.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk menunggu hingga mesyuarat itu selesai dan menunggu kenyataan yang akan dikeluarkan kelak.

“Tunggulah pengumuman. Saya tidak boleh buat pengumuman secara spontan kerana ia adalah pengumuman penting.

“Biarlah ia berdasarkan kenyataan bertulis,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bila kerajaan akan mengumumkan pihak yang berjaya membida untuk mengambil alih syarikat konsesi berkenaan.

Setakat ini lima pembida dilaporkan sudah mengemukakan tawaran rasmi mengambilalih PLUS iaitu RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad serta yang terbaharu daripada Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPBP).

Lebuh raya yang terbabit dalam konsesi PLUS ialah: Lebuh Raya Utara Selatan; Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA); Jambatan Pulau Pinang; Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE); dan Lebuh raya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Disember lalu, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan sebagai berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Berita Harian X