Khamis, 9 Januari 2020 | 1:26pm
Laman portal JAS, www.doe.gov.my
Laman portal JAS, www.doe.gov.my

Tindakan tegas terhadap pelaku pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat pembakaran terbuka ketika negara dilanda musim panas dan kering.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam kenyataan hari memaklumkan, berikutan musim panas dan kering yang berlarutan sehingga Mac ini, JAS meningkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negara.

Katanya, dalam tempoh penghujung Monsun Timur Laut itu, taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara dan pembakaran terbuka dikhuatiri akan berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar sehingga berpotensi menjejaskan kualiti udara serta kesihatan awam.

“JAS menjalankan rondaan fizikal dan menggunakan dron bagi memantau kejadian pembakaran terbuka dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah.

“Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

MESTECC juga mengingatkan pemilik tanah supaya memantau tanah masing-masing terutama di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, ladang, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah (termasuk tapak pelupusan sampah haram), hutan, belukar dan kawasan perindustrian.

“Pemilik tanah juga dikehendaki mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka,” katanya.

MESTECC turut mengambil langkah proaktif bagi menangani pembakaran terbuka, antaranya mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 7 Januari 2020 bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan oleh kementerian, jabatan dan agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, pihak berkuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, JAS, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat JAS negeri dan agensi negeri terbabit.

“Di bawah pelan ini, perkara yang sedang giat dilaksanakan adalah meningkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko terbakar dan kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar dan mengupayakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran bagi membantu memantau pembakaran terbuka.

“Selain itu, meningkatkan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dan penyertaan komuniti, memantau status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS serta status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh MetMalaysia,” katanya.

MESTECC meminta orang ramai supaya melaporkan kes pembakaran terbuka kepada JAS di talian bebas tol, 1800882727 dan https://eaduan.doe.gov.my serta JBPM di talian 999.

Orang ramai juga boleh menyemak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU)dan maklumat terkini status kualiti udara melalui laman portal JAS, www.doe.gov.my serta melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’.

Berita Harian X