Selasa, 7 Januari 2020 | 5:04pm
500,000 bayi yang lahir pada tahun ini bakal menerima dua dos suntikan percuma vaksin pneumokokal, bermula pertengahan tahun ini. - Foto hiasan

500,000 bayi diberi dua dos vaksin pneumokokal

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 500,000 bayi yang lahir pada tahun ini bakal menerima dua dos suntikan percuma vaksin pneumokokal, bermula pertengahan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dos ketiga vaksin pneumokokal pula akan diberi pada 2021.

Katanya, pemberian vaksin pneumokokal perlu diambil sebanyak tiga dos pada bayi berusia 4, 8 dan 15 bulan.

“Bagaimanapun, pemberian itu bergantung kepada bekalan vaksin sedia ada selepas proses perolehan vaksin dibuat dijangka pada pertengahan tahun ini.

“Ketika ini Kementerian Kesihatan sedang menunggu untuk mendapatkan vaksin pneumokokal melalui tender terbuka. Di samping itu, persediaan logistik, sumber tenaga, latihan anggota, pengukuhan sistem pelaporan dan survelan juga sedang dijalankan.

"Aktiviti hebahan dan promosi juga akan dijalankan bagi memastikan ibu

bapa bagi kanak-kanak yang layak mengetahui mengenai imunisasi pneumokokal dan manfaatnya kepada anak-anak mereka.

"Kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Immunise For Life, badan profesional seperti Persatuan Pediatrik Malaysia akan dijalankan bagi meningkatkan advokasi terhadap vaksin pneumokokal," katanya kepada BH.

Kementerian Kesihatan komited memulakan suntikan pneumococcal kepada semua bayi mulai tahun ini melalui peruntukan RM60 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Visi Kementerian Kesihatan adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak diberikan suntikan dan mencapai 95 peratus kadar vaksinasi.

Berita Harian X