Sabtu, 4 Januari 2020 | 7:01pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto Zulfadhli Zulkifli
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pembangunan industri perfileman dan usahawan e-dagang antara tumpuan KKMM

KUALA LUMPUR: Menarik syarikat luar melabur dalam industri penerbitan filem, memasarkan filem-filem tempatan ke pasaran asing, kadar bayaran lebih tinggi bagi program-program yang diterbitkan oleh vendor untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara pencapaian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sepanjang 2019.

Selain itu, memperkasa pengusaha kecil dan sederhana khasnya di luar bandar supaya tidak terpinggir daripada ekonomi digital juga menjadi keutamaan KKMM.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata demikian dalam laporan Pencapaian KKMM 2019 yang dimuatnaiknya dalam akaun Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam merangsang industri perfileman, laporan itu menyatakan rebat tunai sebanyak 30 peratus yang ditawarkan bagi Promosi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) telah menarik minat lapan buah syarikat produksi luar negara yang berpotensi menjana pelaburan sebanyak RM90.3 juta.

Perjanjian transaksi jualan juga dimeterai tahun lepas di pasaran antarabangsa bagi kandungan audio visual negara di International Market of Communications Programmes (MIPCOM), Perancis, yang mampu menjana nilai eksport dan pelaburan berjumlah RM20.72 juta.

Transaksi jualan pada acara industri filem/tv ‘Asia TV Forum & Market‘ di Singapura dan ‘Connect Asia 2019‘, pula masing-masing berjumlah RM16.23 juta dan RM9 juta.

Serentak dengan itu kadar harga program RTM akhirnya dinaikkan 10 peratus hingga 60 peratus mulai Ahad lepas (1 Januari) mengikut kategori, setelah 33 tahun tidak dikaji. Langkah itu mampu merangsang pertumbuhan industri penerbitan program tempatan.

Selain itu, lebih daripada RM1.4 juta diluluskan untuk menyokong 49 artis dalam aktiviti seni dan kebudayaan menerusi Program Pembiayaan Penciptaan Karya, Pembangunan Kapasiti, Mobiliti, Organisasi Seni dan 25 sekolah di bawah Program Lawatan Seni Sambil Belajar #BASKL.

Sementara itu, laporan pencapaian setebal 16 muka surat itu turut menekankan kepentingan pembangunan saluran bakat teknologi yang utuh bagi memanfaatkan peluang sosio-ekonomi yang terhasil daripada pelaksanaan pendigitalan dan teknologi pintar.

Antaranya, tumpuan terhadap pembangunan bakat teknologi dicapai kementerian itu menerusi kerjasama dengan beberapa syarikat swasta dan global antaranya General Assembly (GA) untuk menubuhkan pusat latihan dan kemahiran digital bagi membangunkan bakat tempatan serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, dalam aspek Industri Animasi dan Permainan Digital (e-games), perkembangan filem animasi sangat memberangsangkan dengan tiga filem tempatan iaitu ‘Upin Dan Ipin: Keris Siamang Tunggal’ (RM26.5 juta), ‘BoBoiBoy The Movie 2’ (RM29.8 juta) dan ‘Ejen Ali: The Movie’ (RM29.3 juta) menduduki tiga tempat teratas dalam kutipan filem Malaysia pada tahun ini.

KKMM akan memperkenalkan Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) tahun ini bagi memperkukuhkan dan meneraju industri kandungan digital tempatan dengan peruntukan RM20 juta menerusi Belanjawan 2020 yang akan menghasilkan jaguh-jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital.

Selain itu, seramai 2,198 pengusaha IKS di kawasan luar bandar menikmati manfaat daripada Projek Desa yang menyediakan perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) melalui Pusat Internet Desa (PID) bagi mengasah kemahiran golongan itu dalam perniagaan e-dagang dan mewujudkan platform untuk memasarkan produk mereka ke sasaran yang lebih luas.

Program ‘100 Go Digital’ yang dilancarkan di Langkawi pula berjaya menarik sejumlah 200 peserta dalam usaha memberi pendedahan dan kemahiran pemasaran digital kepada usahawan IKS.

Program ‘Global Acceleration and Innovation Network’ (Gain) kementerian bertujuan membantu firma teknologi tempatan berkembang ke peringkat global yang mana sebanyak lapan syarikat tempatan dalam pelbagai kategori seperti teknologi dron dan ‘fintech’ telah mencapai status syarikat global pada tahun ini.

Geran padanan sebanyak 50 peratus bernilai sehingga RM5,000 dikeluarkan bagi menggalakkan IKS menerima pakai langkah pendigitalan untuk operasi syarikat dengan keseluruhan geran berjumlah RM500 juta dan terbuka kepada 100,000 PKS pertama yang memohon. – BERNAMA

Berita Harian X