Jumaat, 3 Januari 2020 | 12:33pm
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - NSTP/Supian Ahmad
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - NSTP/Supian Ahmad

SKSPS diperluas kepada 19 sektor

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) kepada 19 sektor tidak formal, berkuat kuasa kelmarin.

Sektor berkenaan merangkumi pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, penternakan dan pengeluaran ternakan, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan dan aktiviti pengilangan produk.

Selain itu, mereka yang bekerja dalam sektor pembinaan, menjaja dan berniaga, premis penginapan, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat, pengumpulan dan pemprosesan data dan perkhidmatan layak mencarum skim terbabit.

Tidak terkecuali, skim itu diperluaskan untuk sektor profesional, saintifik dan teknikal, perkhidmatan sokongan persendirian, aktiviti persembahan, perfileman, karya seni dan grafik, perkhidmatan isi rumah, perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan, mental, fizikal atau sosial.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata di bawah skim itu terdapat empat pelan caruman ditawarkan kepada individu bekerja sendiri demi perlindungan dan tanggungan mereka.

Beliau berkata, empat pelan terbabit merangkumi pendapatan bulanan pilihan yang diinsuranskan pada kadar RM1,050, RM1,550, RM2,950 dan RM3,950 dengan caruman bermula serendah RM13.10 sehingga RM49.40 secara bulanan.

“Saya berharap mereka yang bekerja sendiri di luar sana tampil untuk mendaftar dan mencarum skim ini. Proses pendaftaran tidak sukar kerana kita ada sistem pendaftaran dan bayaran caruman secara atas talian di http://matrix.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat PERKESO seluruh negara untuk buat bayaran secara tunai.

“Caruman boleh dilakukan secara bulanan atau tahunan, tetapi digalakkan boleh buat secara tahunan untuk tidak menimbulkan kesukaran. Pun begitu, caruman secara bulanan sebenarnya tidak membebankan.

“Bagi mereka yang bekerja sendiri dan mahu mencarum hanya perlu membawa kad pengenalan dan bukti menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri bergantung kepada jenis pekerjaan yang dilakukan seperti lesen perniagaan, permit, kad keahlian atau pengesahan daripada persatuan atau ketua masyarakat, perakuan pendaftaran perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkaitan perluasan SKSPS di Menara PERKESO, pagi tadi.

Mengulas lanjut skim berkenaan, Mohammed Azman, berkata bagi orang bekerja sendiri yang melakukan lebih daripada satu jenis pekerjaan, bilangan caruman yang dibuat bergantung kepada jenis sektor bagi sesuatu pekerjaan itu.

Sekiranya pekerjaan sendiri dilakukan dalam sektor yang sama, beliau menjelaskan, hanya satu caruman perlu dibayar manakala caruman tambahan perlu dibayar sekiranya mereka menjalankan pekerjaan sendiri di bawah sektor lain.

“Sebagai contoh, orang bekerja sendiri mengusahakan ladang kelapa sawit dan pada masa yang sama orang itu pekebun getah, kedua-dua pekerjaan itu berada dalam sektor yang sama iaitu pertanian, maka hanya satu caruman perlu dibuat.

“Namun demikian, sekiranya orang bekerja sendiri itu seorang pekebun getah (sektor pertanian) yang juga melakukan kerja pendawaian (sektor pembinaan) maka sewajarnya dua caruman dibuat.

“Mereka yang boleh mencarum di bawah SKSPS adalah yang bertaraf warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri bagi tujuan mencari nafkah dan tiada had umur dikenakan,” katanya.

Mengenai jumlah terkini pencarum SKSPS, Mohammed Azman, berkata setakat hari ini seramai 48,000 individu sudah mencarum skim itu sambil menganggap jumlah itu masih sedikit jika dibandingkan dengan keseluruhan individu bekerja sendiri di negara ini iaitu sekitar 2.83 juta orang.

Sehubungan itu, dengan beberapa langkah akan diambil dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai yang bekerja sendiri, beliau menyasarkan semua individu bekerja sendiri mencarum skim berkenaan.

“Masih ramai lagi tidak mencarum. Kami berusaha untuk membina kesedaran lebih luas tentang kepentingan skim perlindungan ini sehingga 100 peratus iaitu setiap rakyat Malaysia kena ada standard minimum perlindungan.

"Pelan besar kita adalah bekerjasama dengan media dari segi pengiklanan. Kita pun akan menjelajah ke setiap zon pada bulan ini untuk bertemu dengan setiap pemegang taruh dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bantu penjaja.

"Bila kita perkenalkan skim ini, mungkin mereka tidak ambil serius. Jika, kita lihat kepada beberapa pemandu Grab yang meninggal akibat dibunuh sebelum ini. Sedih untuk saya katakan, mereka tidak mendaftar dan akhirnya keluarga tidak dapat apa-apa," katanya.

Berita Harian X