Rabu, 1 Januari 2020 | 5:34pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi hadir pada Majlis Menyambut Pelancong Di Pintu-Pintu Masuk Utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi hadir pada Majlis Menyambut Pelancong Di Pintu-Pintu Masuk Utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto BERNAMA

Kementerian Pelancongan mahu pintu masuk VOA ditambah

SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menambah pintu masuk dengan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menteri, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Seri Muhyiddin Yasin dalam waktu terdekat.

Ketika ini kemudahan VOA hanya diberi kepada pelancong China dan India yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Berikutan itu, beliau berkata, penambahan pintu masuk itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong dari kedua-dua negara datang ke negara ini di samping permintaan dari pemain industri.

"Kemasukan pelancong dari India dan China dijangka terus kekal tinggi berikutan kedua-dua negara itu adalah antara negara yang menyumbang kemasukan pelancong tertinggi ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Menyambut Pelancong Di Pintu-Pintu Masuk Utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin.

Majlis sambutan itu diadakan serentak di 22 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri.

Enam pintu masuk tambahan yang boleh mengeluarkan VOA adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah; Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah; Lapangan Terbang Antarabangsa Miri, Sarawak; ICQS Sungai Tujoh, Sarawak; Terminal Feri Labuan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (Skypark Subang).

Sementara itu, Mohamaddin berkata, kerajaan menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong sempena VMY 2020 dengan menjana pendapatan bernilai RM100 bilion daripada industri pelancongan.

Untuk itu, katanya, kementerian akan meneruskan kempen VMY 2020 bermula 8 Januari ini dengan mengadakan seminar pelancongan bersama pihak industri di India.

MOTAC juga, katanya, akan menyertai pameran Pelancongan Asean di Brunei, Pameran Pelancongan Fitur di Sepanyol (Fitur 2020) dan Festival Pelancongan Matka, Sinki di Finland pada hujung Januari.

"Acara sambutan ini diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi korporat yang terbabit dalam industri pelancongan bagi memeriahkan majlis di setiap lokasi.

"Selain menyambut kedatangan pelancong ke negara kita pada hari pertama tahun 2020, majlis ini turut menghangatkan lagi kemeriahan sambutan kempen VMY 2020," katanya.

Berita Harian X