Selasa, 31 Disember 2019 | 11:16am

Golongan berisiko dinasihati ambil suntikan pelalian influenza

KUALA LUMPUR: Golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan asma, digalakkan mendapatkan suntikan pelalian vaksin influenza bermusim di fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara bagi mengelakkan jangkitan virus yang boleh membawa maut.

Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan influenza, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dinasihatkan untuk melaksanakan beberapa langkah antaranya tidak pergi ke tempat tumpuan ramai, sebaliknya berehat di rumah.

“Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

“Mereka yang dijangkiti influenza juga perlu memakai penutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin dan membuangnya segera dalam tong sampah.

“Mereka juga perlu mengelakkan daripada berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain serta segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Influenza adalah jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit, justeru penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan serta kem tentera dan polis.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah yang berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Dr Noor Hisham menegaskan Kementerian Kesihatan memandang serius penyebaran berita mengenai peningkatan kes penularan jangkitan influenza yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun tegasnya, jangkitan itu tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai rekod mengenai setiap satu kes jangkitan influenza yang berlaku di negara ini sekarang, tetapi masih memantau aktiviti influenza dengan menggunakan data proksi yang direkodkan dari aktiviti survelan membabitkan beberapa lokasi sentinel dikenal pasti dari seluruh negara.

“Bagi negara beriklim tropika seperti Malaysia, jangkitan influenza dilaporkan berlaku sepanjang tahun, namun dalam julat yang kecil. Ini berbeza berbanding negara beriklim sederhana dan sejuk, di mana jangkitan influenza ini berlaku secara bermusim khususnya pada musim sejuk.

“Sehubungan itu, pemantauan aktiviti influenza ini dilakukan sepanjang tahun bagi mengenal pasti tren jangkitan influenza di Malaysia dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus influenza ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pemantauan survelan influenza meliputi kadar konsultasi kes ‘influenza like-illness’ (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI).

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata kejadian wabak yang berkaitan dengan jangkitan saluran pernafasan juga dipantau secara harian.

"Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia.

"Justeru, berdasarkan trend yang direkodkan dari aktiviti survelan berkenaan, terdapat sedikit peningkatan kes ILI dan SARI sejak pertengahan bulan Disember 2019.

"Namun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun sebelumnya. Begitu juga, tiada peningkatan ketara bagi kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama," katanya.

Katanya, analisa terhadap virus influenza yang dikesan dari aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza baru.

Berita Harian X