Isnin, 30 Disember 2019 | 8:30pm

SPAN sudah buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, Selangor, akibat pencemaran bau pada 21 Disember lalu.

Tindakan itu diambil melalui Bahagian Penguatkuasaan dan siasatan dimulakan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPAN dalam satu kenyataan, hari ini, menegaskan walaupun bekalan air ke empat wilayah yang terjejas sudah pulih sepenuhnya pada 26 Disember lalu, pihaknya tidak menganggap perkara itu selesai selagi suspek atau individu penyebab pencemaran itu tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Kertas siasatan dibuka bawah peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) melalui Seksyen 61 (1)(b) yang merujuk perbuatan salah melepaskan apa-apa efluen atau bahan berbahaya ke dalam pembetung awam. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

“Pelaku didapati bersalah juga boleh didakwa bawah Seksyen 121 (1)(c) yang merujuk seseorang mencemarkan atau menyebabkan mana-mana alur air atau sistem bekalan air dengan apa-apa bahan berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang, yang jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, pelaku akan dikehendaki membayar pampasan bagi kerosakan dilakukan, kepada pihak operator jika ia dibuktikan dengan sengaja, cuai atau melulu merosakkan atau menyebabkan supaya dirosakkan mana-mana bahagian daripada mana-mana sistem bekalan air awam atau sistem pembetungan awam bawah Seksyen 122 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Seksyen 125 Akta 655 pula memperuntukkan seseorang yang mengganggu sistem bekalan air atau sistem pembetungan atau sebahagian daripada sistem itu yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Kerja penutupan (seal) bagi semua lurang kumbahan (manhole) sudah dilakukan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sekitar Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Bandar Bukit Mahkota, Bangi, bertujuan mengelakkan perbuatan pembuangan sisa secara haram berulang pada masa depan,” katanya.

SPAN sekali gus menyeru semua agensi berkaitan mengambil langkah proaktif menyelia sebarang aktiviti mencurigakan, dan seterusnya mengambil tindakan agar sungai sebagai sumber air mentah utama negara dipelihara daripada sebarang pencemaran.

“SPAN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana organisasi atau orang perseorangan yang melanggar Akta 655,” katanya.

Dalam kejadian pada 21 Disember lalu, bekalan air di empat daerah Selangor terjejas membabitkan 348 kawasan dan 328,957 akaun pengguna, berikutan masalah pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Insiden terbabit menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya, manakala lokasi terjejas ialah di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Berita Harian X