Isnin, 30 Disember 2019 | 3:37pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Syarafiq Abd Samad
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Syarafiq Abd Samad

Lanjutan tempoh SHMMP legakan pengguna

KULIM: Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) memberi kelebihan kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan pada harga berpatutan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tempoh lanjutan yang dilaksanakan bermula tahun lalu melegakan hati pelbagai pihak.

“Saya memperkenalkan pertambahan hari dan bilangan barangan terkawal sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Dalam tempoh 365 hari, SHMMP dilaksanakan selama 105 hari merangkumi tujuh musim perayaan utama di negara ini.

“Penambahan jumlah hari dan bilangan barangan ternyata melegakan pengguna, malah peniaga turut memberikan kerjasama dan patuh terhadap arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Kembali Ke Sekolah dan Kempen Sokong Barangan Buatan Malaysia di Kulim Central di sini, hari ini.

Seramai 150 murid menerima bantuan kelengkapan persekolahan sumbangan pihak Giant.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan mengumumkan SHMMP bagi Tahun Baru Cina pada minggu ketiga Januari depan.

Pelaksanaan SHMMP merangkumi Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau akan memberikan pandangan berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyarankan supaya elaun ahli politik dan menteri dipotong dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

“Saya akan bagi pandangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang kerana itu lebih baik.

“Lebih baik kita sampaikan pandangan melalui saluran Jemaah Menteri, sebab keputusan akan dibuat di situ (mesyuarat).

“Apabila ada ketetapan, pengumuman (rasmi) akan dibuat dan media akan dapat melaporkan,” katanya.

Berita Harian X