Jumaat, 20 Disember 2019 | 11:11am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Pulau Pinang.Pasangan diraja itu yang menaiki pesawat khas, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 10 pagi. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri. - Foto BERNAMA

Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah mulakan lawatan ke Pulau Pinang

GEORGETOWN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempunyai jadual padat sempena lawatan kerja tiga hari baginda ke Pulau Pinang bermula hari ini.

Terdahulu, pesawat khas membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira jam 10.35 pagi tadi, dengan ketibaan baginda berdua disambut Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Ini adalah lawatan sulung pasangan diraja itu ke Pulau Pinang sejak Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Al-Bukhary di Persiaran Karpal Singh pada jam 12 tengah hari ini, seterusnya menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat.

Sementara itu, Tunku Azizah dalam aturcara berasingan dijadualkan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama barisan kepimpinan wanita negeri pada jam 1.30 petang di Shangri-La Rasa Resort & Spa, diikuti dengan majlis ramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang pada jam 3 petang.

Pada sebelah malam pula, baginda berdua dijadualkan berangkat ke majlis santapan bersama rakyat berbilang kaum di The Top, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Esok, Yang di-Pertuan Agong berkenan merasmikan bangunan baharu Mahkamah Syariah Pulau Pinang diikuti santapan tengah hari di Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell.

Pada jam 3 petang, Seri Paduka berdua berkenan melawat Bukit Bendera dengan menggunakan perkhidmatan funikular dan turut berkenan melawat The Habitat.

Pada sebelah malam pula, baginda berdua dijadualkan menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Shangri-La Rasa Resort & Spa.

Pada Ahad sebelum mengakhiri lawatan kerja baginda, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Zakat Negeri Pulau Pinang pada jam 10 pagi sebelum berlepas ke Kuantan, Pahang dari LTAPP.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X